KMU diwujud untuk pertahankan Umno
Merujuk kepada rencana Agendadaily.com bertajuk "Pengendali laman web dibayangi oleh Azalina yang kerap guna bahasa kesat jaja nama PM", kesimpulan dan andaian laman tersebut bahawa Kelab Maya Umno (KMU) mengendalikan laman web Selangordaily.com , adalah tidak tepat dan berunsur prejudis.
Malahan dakwaan yang mengatakan KMU menaungi laman Selangordaily juga merupakan satu bentuk kenyataan yang mungkin boleh dianggap fitnah yang berniat jahat terhadap kelab berkenaan. Namun demi bersangka baik sepertimana yang dianjurkan oleh Islam, penulis percaya Agendadaily telah terkhilaf dalam membuat andaian tersebut.
Kelab Maya Umno (KMU) hanya mempunyai dua laman iaitu www.kmu.net.my dan www.mayaumno.com. Sungguh pun terdapat penulis yang menulis di kmu.net.my, turut menulis di Selangordaily.com , ia bukan pula bermakna pandangan Selangordaily merupakan pandangan KMU.
Ahli KMU atau mereka yang menulis di KMU bebas juga menulis di mana-mana laman atau akhbar, memandangkan mereka bukannya pekerja laman KMU yang dibayar gaji. Selain itu, mana-mana pihak, boleh menyiasat kedudukan perumah ( hosting ) Selangordaily.com . Saya pasti pakar teknikal akan mendapati Selangordaily tidak dihos di server KMU sepertimana yang didakwa.
Dakwaan seorang ahli Umno Wilayah Persekutuan tanpa nama mengenai KMU, juga amat meragukan. Bagaimanapun, KMU pada bila-bila masa sedia berdialog secara terbuka dengan mana-mana ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan laman kami. Tidak ada masalah.
Sebagai ahli Umno, kita harus berani, bukannya membuat kenyataan seperti baling batu sembunyi tangan. Sekiranya untuk mengkritik sebuah kelab kecil seperti KMU pun tidak berani mendedahkan nama sebenar, bukankah ini membuktikan mereka tidak bersedia berhadapan secara terbuka?
KMU amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana laman untuk membantu Umno. Namun bagi KMU, tujuan penubuhan kami ialah untuk mempertahankan Umno dan bukannya terbabit dalam sepak terajang kepimpinan Umno sepertimana terbabitnya Agendadaily dan Selangordaily .
Kami berusaha mengelak daripada terbabit dalam pertikaian peribadi antara pemimpin Umno dalam perebutan sebarang jawatan. Sesiapa sahaja yang dipilih oleh ahli Umno sebagai pemimpinnya akan mendapat sokongan KMU. Ini kerana KMU ditubuhkan untuk menghadapi PAS dan Pembangkang lain.
Sekiranya terdapat sebarang analisis atau fokus terhadap isu-isu kepimpinan Umno, KMU sedaya-upaya memfokus terhadap keberkesanan kepimpinan dan bukan hal-hal peribadi mereka kerana KMU mahu mempertahankan Umno, dan bukannya merosakannya.
Sebab itu, dalam perebutan pucuk kepimpinan Puteri Umno, KMU tidak membabitkan diri dalam sebarang pertikaian, kecuali memberi analisis yang tepat dan sedaya-upaya mengingatkan ahli Umno supaya jangan membiarkan perebutan jawatan ini menjuruskan kepada "yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu".
Agendadaily boleh menelanjangkan apa sahaja yang dianggap sebagai satu bahan berita kepada lamannya. Demikian juga Selangordaily.com mereka juga berhak menulis apa-apa sahaja kerana ia adalah prinsip kebebasan kewartawanan.
Namun KMU adalah satu entiti yang berpegang teguh kepada prinsip asal penubuhannya iaitu mempertahankan Umno daripada pembangkang dan menyerang pembangkang. Justeru itu, KMU tidak berminat untuk terbabit dalam konflik Selangordaily.com dan Agendadaily. com .
Untuk pengetahuan juga, segala pandangan kelab ini hanya melalui laman rasmi kami di www.mayaumno.com manakala penulisan exco KMU di laman www.kmu.net.my hanya merupakan satu pandangan laman tersebut dan bukannya KMU secara rasmi.
Justeru pembetulan ini amat penting bagi memastikan peranan kelab ini tidak disalahanggap dan ditafsirkan sebagai menyusahkan Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.