Hizbi patut hormati keputusan menolak undangan
Pada hemat saya, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London bertindak wajar menasihati Prof Nik Anuar Nik Mahmud supaya tidak menghadiri majlis Wacana Merdeka anjuran Hizbi, sebuah kelab penuntut yang jelas merupakan sayap PAS dan tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Selalunya kegiatan Hizbi yang jelas dikuasai PAS banyak menjemput pemimpin pembangkang menyampaikan ceramah dalam bentuk menghentam dan mencerca kerajaan.
Mungkin kerana menyedari pengaruhnya makin berkurangan disebabkan terlalu berpolitik maka dijemputlah seorang profesor untuk dijadikan "kambing hitam" bagi memulihkan kredibiliti mereka.
Jika Prof Nik Anuar bercakap di wacana tersebut, tentulah beliau akan menjadi mangsa politik terbaru PAS. PAS dan Hizbi akan menggunakan forum tersebut bagi mengheret sama seorang ahli akademik ke kancah propaganda murahan mereka.
Justeru itu, jelas Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia (MSD), Dr Kamarudin Mohd Nor bertindak dengan rasional, penuh kesedaran dan bertanggungjawab sebagai seorang pegawai kerajaan Malaysia di London untuk menasihati seorang profesor sebuah universiti awam supaya tidak terbabit dengan sebuah kumpulan yang telah diketahui umum antipemimpin dan antikerajaan hari ini.
Biar apa pun rasional kewujudan Wacana Kemerdekaan, tetapi oleh kerana ia dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang nyata bertanggungjawab menimbulkan beberapa fitnah terhadap kerajaan maka sewajarnya Prof Nik Anuar dinasihatkan sedemikian.
Sebenarnya Dr Kamarudin tidaklah perlu merendahkan dirinya menjawab kenyataan-kenyataan karut daripada pemimpin Hizbi yang merasakan mereka cukup besar dan hebat untuk mempertikaikan keIslaman orang lain.
Tidak ada salahnya memberi nasihat kepada seorang pegawai kerajaan yang terikat dengan Akujanji supaya ia tidak menjadi satu implikasi kepada kerjaya profesor itu di kemudian hari.
Silapnya Dr Kamarudin ialah melayan golongan ini. Mereka tidak akan menerima apa sekali pun penjelasan MSD. Hatta jika penjelasan itu logik sekalipun, akan ditimbulkan perkara-perkara lain pula.
Percayalah selepas ini, Hizbi akan sedaya-upaya mencari apa sahaja salah Dr Kamarudin untuk dijadikan isu, biar pun perkara yang remeh-temeh atau perkara yang separuh benar, demi merosakkan imejnya.
Dalam pemikiran orang tertentu seperti kelompok Hizbi ini, jika menjadi pegawai kerajaan yang mendokong dasar kerajaan yang ada, merupakan satu tindakan yang keji, jijik dan salah.
Apatah lagi jika mengaku seorang ahli Umno, maka Dr Kamarudin pastinya dianggap sebagai pegawai yang tidak layak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Tapi jika seorang pegawai kerajaan menyokong pembangkang secara terbuka, membocorkan rahsia kerajaan dan memberi favour kepada pembangkang hingga mengenepikan dasar-dasar kerajaan, maka alasan-alasan yang novel akan digunakan bagi mempertahankan tindakan mereka itu.
Kelompok ini hidup dalam erti kata mereka sahaja Islam dan mereka sahaja yang serba tahu. Tidak percaya? Silalah sertai usrah dan jemaah kelompok ini. Tindak-tanduk seumpama Hizbi ini juga boleh ditemui di setiap institusi pengajian tinggi awam (Ipta) dalam negara.
Saya tidak faham mengapa nasihat MSD dianggap salah? Prof Nik Anuar boleh sahaja mengenepikan nasihat MSD jika beliau benar-benar ingin juga terbabit dengan gerakan Hizbi.
Tentulah Prof Nik Anuar layak membuat pertimbangan sendiri dan jika beliau memilih untuk mengikut nasihat MSD, hormatilah keputusan beliau.
Selama ini Hizbi boleh hidup dengan gah dengan wacana-wacana politiknya oleh Nasharudin Mat Isa (setiausaha agung PAS), N Gobalakrishnan (ahli majlis tertinggi Keadilan), Mahfuz Omar (ahli Parlimen PAS) dan Azmin Ali (naib presiden Keadilan), maka tentulah tidak ada apa yang memudaratkan Hizbi jika sekadar seorang profesor tidak hadir dalam wacana mereka?
Lagipun apalah erti kemerdekaan kepada Hizbi yang menganggap negara ini dan Perdana Menterinya sebagai taghut dan tidak Islamik? Apalah erti kemerdekaan kepada Hizbi yang mewakili sebuah parti yang menentang proses menuntut kemerdekaan dahulu?

