Setelah membaca surat

yang dihantar oleh Abdul Jalil Backer, saya merasa perlu untuk menyuarakan pendapat. Saya merasakan Abdul Jalil telah tersilap apabila mengatakan Prof Nik Anuar Nik Mahmud akan menjadi mangsa politik terbaru PAS sekiranya beliau berucap di Wacana Kemerdekaan yang dibatalkan di United Kingdom.

Apa yang sepatutnya Abdul Jalil tulis ialah, sekiranya Prof Nik Anuar hadir dan bercakap, maka beliau akan menjadi mangsa permainan politik sempit Umno dan Barisan Nasional (BN), bukannya PAS.

Kita semua sedia maklum bahawa Umno dan BN amat tidak popular di kalangan pelajar Malaysia di UK. Jadi, kita sama sekali tidak terkejut jika Umno dan BN membawa budaya mengancam ke UK, melalui Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia London, apabila mereka terasa tersepit.

Saya juga ingin membuat pembetulan terhadap kenyataan Abdul Jalil serta artikel yang ditulis oleh wartawan malaysiakini . Wacana Kemerdekaan bukan dianjurkan oleh Hizbi. Sebenarnya, ia dianjurkan oleh gabungan pertubuhan pelajar Malaysia seluruh UK (United Kingdom Executive Council for Malaysian Students atau Ukec).

Sebagai pelajar Malaysia di Manchester, saya amat bangga kerana Malaysian Community of Old Trafford (MCOT) telah menjadi penganjur bersama program tersebut. Saya amat kesal kerana program tersebut tidak terlaksana.

Satu perkara yang perlu saya sentuh juga ialah, saya amat bersetuju dengan pandangan

Luke Wong dari Glasgow bahawa Jabatan Penuntut Malaysia London tidak pernah memberi perhatian sewajarnya kepada kami yang bukan berbangsa Melayu.

Malahan, hampir semua pertubuhan pelajar Malaysia di UK, termasuklah MCOT, kurang memberi perhatian kepada kami yang bukan Melayu.

Setakat yang saya ingat, hanya dua pertubuhan yang benar-benar berusaha mengajak pelajar bukan Melayu untuk turut serta dalam program mereka. Yang pertama ialah Ukec, dan yang kedua ialah Hizbi.

Ukec memang merupakan sebuah pertubuhan pelbagai bangsa, manakala Hizbi kerapkali membuka program mereka kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum. Malahan, saya dimaklumkan bahawa Hizbi juga membuka keahlian mereka kepada warganegara Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan sikap Hizbi menyokong usaha menubuhkan negara Islam di Malaysia, sekurang-kurangnya mereka berusaha mendekati pelajar semua kaum dan berdialog dengan kami.

Pernah dalam salah satu program anjuranya, turut diselitkan satu sessi dialog dengan pemimpin tertinggi PAS dan ini telah membolehkan pelajar Malaysia berbilang kaum mendapat pendedahan terus mengenai konsep negara Islam yang dibawa oleh PAS.

Usaha begini perlu diteruskan demi untuk mencapai cita-cita sebuah negara Malaysia yang dicintai rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebaliknya, hampir setiap kali pemimpin kerajaan datang ke UK, mereka akan menghadiri pertemuan tertutup dengan Kelab Umno. Ini seolah-olah menunjukkan mereka datang ke UK dengan wang rakyat, tetapi mereka bekerja untuk kepentingan parti mereka sahaja.

Ahli Kelab Umno yang saya kenali juga bukan sahaja tidak berusaha berdialog dengan pelajar bukan Melayu, malahan sikap yang mereka tunjukkan amat tidak sihat. Sikap mereka seolah-olah mencerminkan budaya perkauman sempit yang amat tidak wajar ditunjukkan oleh mereka yang kononnya cemerlang dalam akademik.