Isu Kerk Kim Hock, setiusaha agung DAP, yang juga ahli Parlimen Kota Melaka, dihalau keluar daripada Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker Datuk Muhammad Abdullah pada 9 Oktober lalu dan menggantungkannya selama tiga hari, menimbulkan persoalan mengenai perwakilan dan penyertaan rakyat.

Ahli Parlimen merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Semestinya, ahli Parlimen merupakan simbol kepada politik perwakilan, untuk mengutara dan membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara, semasa persidangan Parlimen.

Di Malaysia, sistem Parlimen berdemokrasi di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) menonjolkan hakikat monopoli majoriti besar oleh ahli Parlimen BN.

Dalam konteks ini, ahli Parlimen pembangkang memikul tanggungjawab berat dalam memastikan ' checks and balances ' wujud dalam proses perjalanan persidangan Parlimen.

Apa yang telah berlaku kepada Kerk memaparkan satu hakikat iaitu perwakilan bertunjangkan sistem Parlimen berdemokrasi, apabila berdepan dengan politik majoriti besar, hilang makna sebenarnya. Yang tinggal hanya makna simbolik sahaja.

Justeru itu, Kerk yang sepatutnya tahu benar dengan nasibnya mungkin dihalang daripada menghadiri persidangan Parlimen jika berdegil dengan sesuatu pendirian, masih melakukannya juga.

Apabila hujah yang diutarakan oleh Kerk didalami, isu yang dibangkitkan iaitu kes saman tambahan kerana kesalahan lalulintas, berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

Justeru ia memerlukan wakil rakyat memainkan peranan menegakkan keadilan untuk rakyat di Parlimen, menurut peraturan permainan politik perwakilan. Ini juga merupakan simbolik kepada penyertaan rakyat melalui penjelmaan politik perwakilan.

Kini, isu Kerk telah menimbulkan beberapa persoalan yang tidak dijawab di sisi sistem Parlimen berdemokrasi:

  • Kepentingan rakyat tidak dibela menurut sistem perwakilan politik sedia ada.
  • Keadilan tidak ditegakkan dalam sistem perwakilan politik (yang tidak demokrasi).
  • Penyertaan rakyat berupa simbolik (tidak signifikan).
  • Antara perwakilan dan penyertaan simbolik, politik di Malaysia tidak memberi ruang yang secukupnya untuk membahaskan dan memberi nafas kepada tumbesarannya.

    Kita memerlukan mekanisme baru yang boleh memberi ruang bebas untuk makna sebenar dan simbolik bagi politik perwakilan dan penyertaan itu berinteraksi dan berfungsi, demi kepentingan rakyat dan negara.

    Ruang sedemikian haruslah bersifat telus, dapat diakses oleh orang awam, berkeupayaan membentuk pendapat umum, dan dirinya merupakan perwakilan kepada kepentingan rakyat pelbagai lapisan.

    Malahan, ruang sedemikian hendaklah terbuka kepada penyertaan tanpa halangan dari segi perbezaan ideologi, kelas, etnik, gender dan kepentingan diri. Mustahil ruang sedemikian dapat dikurniai menerusi sistem Parlimen berdemokrasi sedia ada!