Bukan sekadar soal satu kejadian kes rogol
Tulisan Jimmy Liew, PM, foreign, home ministers owe us all an apology , dan beberapa orang lagi yang mengkritik kerajaan Malaysia kerana mendesak Filipina meminta maaf, memperlihatkan timbul salah tanggap mengenai dua kes yang berbeza tetapi saling berkaitan, iaitu isu seorang budak perempuan bawah umur dirogol dan isu diplomatik.
Simpati saya kepada Jimmy yang tinggal di Amerika Syarikat kerana merasa malu kepada teman sekerjanya dengan gesaan Malaysia kepada Filipina supaya memohon maaf. Tapi jika Jimmy mengikuti isu ini dari awal tanpa sebarang prejudis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, beliau tentu mengetahui mengapa kerajaan Malaysia menuntut Filipina meminta maaf.
Apabila isu ini mula ditimbulkan oleh Filipina, ia bukan sekadar soal satu kejadian kes rogol. Tetapi ia telah menjadi satu tuduhan berat kerajaan Filipina kepada Malaysia kononnya negara ini mendera dan memberi layanan buruk terhadap pendatang tanpa izin dari Filipina.
Malahan, surat Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo kepada Dr Mahathir memperlihatkan satu gaya bahasa yang dalam hubungan diplomatik dianggap "cukup biadap dan kurang ajar".
Media-media Filipina pula menggunakan isu ini sebagai satu alasan untuk menuduh kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang berlaku kejam terhadap pendatang tanpa izin Filipina.
Hanya kerana satu kes terpencil, Filipina telah menggunakannya sebagai satu isu bagi memburukkan Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerana hanya satu kes yang belum dipastikan benar atau tidak lagi, Filipina telah membuat kesimpulan bahawa kerajaan Malaysia mempunyai dasar dan polisi yang kejam terhadap pendatang tanpa izin Filipina.
Berikutan itu, satu pasukan penyiasat dari Filipina dihantar bagi menyiasat keadaan kem tahanan pendatang tanpa izin Filipina di Sabah.
Walaupun itu kemudiannya mendapati mereka dilayan baik, isu dakwaan bahawa pendatang tanpa izin dirogol anggota Polis Malaysia, terus digunakan bagi menunjukkan berlakunya penganiayaan dan kezaliman ke atas rakyat Filipina di Malaysia.
Rakyat Malaysia juga pernah menjadi mangsa jenayah di negara lain. Malahan ada antara mereka yang menjadi mangsa pihak berkuasa Amerika. Namun ini tidak bermakna Kerajaan Malaysia boleh sewenang-wenangnya bertindak biadap dalam hubungan diplomatik antara negara.
Tentulah kita akan memohon supaya siasatan dijalankan tetapi bukanlah dengan sikap biadap dan angkuh yang tidak setaraf dengan tatacara diplomatik antara negara.
Justeru itu, saya berpendapat kerajaan Malaysia berhak menuntut permohonan maaf diplomatik daripada Filipina kerana sikap "biadap" mereka ketika menguruskan isu ini.
Mengenai Jawapan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abu Zahar Isnin di Dewan Rakyat, saya telah merujuk kepada Hansard Parlimen. Kata-kata Abu Zahar adalah seperti berikut:
Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan apa tuduhan yang telah dibuat oleh Filipina terhadap kita, kita telah menjalankan siasatan, yang akhirnya budak yang membuatkan perkara yang boleh mengganggu perhubungan dua negara ini ialah seorang yang saya sudah sebutkan dahulu seorang yang of not a good character , dan apabila dia ditangkap, dia diletakkan dalam pusat serenti atau pusat apakah, dia tidak ada mempunyai dokumen, lepas itu kita masukkan dia balik, dia pula mengadu sana konon dia kena rogol dengan pegawai penguatkuasa atau apa-apa yang lainlah, tetapi apabila perkara ini telah disiasat dan akhirnya perkara ini tidak benar.
Dan ini pula pemahaman Jimmy, " And as though all that wasn't low enough, we also have a Home Ministry parliamentary secretary Abu Zahar Isnin insinuating in Parliament that the 13-year-old had 'seduced' the police into raping her ."
(Dan bukan setakat itu sahaja, kita juga mempunyai seorang Setiausaha Parliament Abu Zahar Isnin yang telah 'membayangkan' di Parlimen bahawa gadis berusia 13 tahun itu telah "menggoda" anggota polis supaya merogolnya).
Terserah kepada pembaca untuk menilai jawapan Abu Zahar. Saya berpendapat konteks seluruh jawapan tersebut tidak melambangkan kesimpulan bahawa budak itu layak dirogol kerana " not of good character " ataupun ia bukan kesalahan rogol kerana budak tersebut " seduced the police " (menggoda anggota polis) sepertimana yang difahami oleh Jimmy.
Saya percaya sepenuhnya kepada pasukan polis menjalankan siasatan. Dari semasa ke semasa terdapat anggota Polis didakwa atas pelbagai tuduhan jenayah membuktikan kewibawaan polis menyiasat dengan adil. termasuk di kalangan anggotanya.
Selebihnya saya juga bersetuju bahawa kerajaan perlu menyiasat bagaimana seorang rakyat Malaysia boleh dihantar ke Filipina kerana dikatakan pendatang tanpa izin.
Tetapi untuk berasa malu kerana Kerajaan Malaysia mahu Kerajaan Filipina memohon maaf, ia sekadar memperlihatkan keangkuhan sebahagian kita yang merasakan kitalah paling bijaksana dan paling cerdik hingga lebih tahu mengendali diplomasi antarabangsa berbanding pegawai diplomatik negara yang masak dengan "sepak terajang" antarabangsa.
Saya tidak pula berkata kita tidak boleh menegur kerajaan kerana kerajaan juga tidak sempurna. Tapi biarlah teguran tersebut berpada supaya orang tidak nampak kita kurang teliti apabila menulis.

