Khalid Jaafar sedar dijadikan perkakas
Apabila terbaca kolum saudara Fathi Aris Omar, entah mengapa, tiba-tiba sahaja saya merasa sebak, sedih dan pelik. Saya bukannya hairan dan sedih kerana perletakan jawatan saudara Khalid Jaafar sebagai editor Berita Keadilan (BK). Seperti ditulis Fathi, saya juga percaya nasib pengkritik memang 'malang', tidak kiralah sama ada namanya Johan Jaafar, Khalid Jaafar atau siapa saja.
Memang benarlah kata seorang kawan, tiada bezanya antara BK dengan Utusan Malaysia, Harakah dengan Berita Harian . Mereka ini adalah 'perkakas' yang sanggup diperkakaskan, kuda yang suka ditunggangi. Jadinya, saya tidak hairan dan sedih tentang hal itu. Saya sudah maklum.
Seperti juga pengguna Internet yang lain, banyak berita dan maklumat yang saya perolehi melaluinya, berbanding dengan bahan bercetak seperti majalah ataupun akhbar.
Bagi mengimbangi pandangan dan pendapat tentang keadaan dan situasi di Malaysia, saya membaca semua berita sama ada Utusan Online, Harakahdaily, Berita Harian, malaysiakini, BK dan tidak terkecuali laman web seperti Webreformis, Mahafiraun, M@rhaen, Tranung Kite, Umno-reform dan banyak lagi.
Oleh itu, tidaklah menghairankan, malah saya percaya sekiranya saudara Khalid juga menerima nasib yang sama seperti apa yang telah menimpa saudara Johan, saudara Ahmad Lutfi Othman dan mereka yang senasib dengannya.
Ada kebaikan di sebalik terjadinya perkara ini. Fenomena ini terjadi hanya apabila saudara Khalid, Johan dan Lutfi menyedari bahawa mereka telah ditunggangi. Jika mereka masih belum sedar akan hakikat itu, mana mungkin mereka akan tersingkir sedemikian?
Tahniah, syabas kepada mereka yang telah sedar dan moga-moga mereka tidak akan terkena lagi. Cuba bayangkan andainya mereka tidak menegur. Mereka akan hanya 'angguk' saja.
Saya semakin kuat mempercayai kebenaran tesis yang mengatakan bahawa "ahli politik di Malaysia ini adalah manusia elit berbanding rakyat marhaen". Golongan elit ini pantang dikritik dan kelemahan besar mereka adalah pujuk, rayu, puji dan 'ampu'.
Sentiasa rugilah pengkritik elitis poltik negara ini dan amat beruntung jika anda mampu dan sanggup menjadi pengampu. Jika tidak mengampu pun, jangan sekali-kali anda mengkritik mereka. Elitis politik sama saja di mana-mana. Rakyat marhaenlah yang sentiasa rugi.
Malangnya, bukan semua manusia mendapat peluang menyedari bahawa mereka telah diperalatkan sebagaimana saudara Khalid menyedarinya. Saya percaya masih ramai manusia yang diperkakaskan ini belum tersedar dari lena mereka.
Mereka ini ada di mana-mana. Di dalam pejabat jabatan kerajaan, di bilik pengarang akhbar, di masjid, gereja atau kuil; malah mereka ini juga mungkin ada di sebalik laman-laman web yang sedang anda layari ini. Inilah masalahnya — mereka tidak menyedarinya.
Pengalaman peribadi menulis sebegini menyedarkan saya kepada hakikat yang berlaku ini. Baru-baru ini saya amat merasa terguris apabila sebuah laman web terpaksa memohon keampunan daripada seorang elitis politik.
Cerita ini bermula apabila ruangan lidah pengarang — Di Sebalik Tabir — laman Webreformis.net menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Saifuddin Nasution Ismail. Dipercayai, disebabkan tekanan pihak tertentu, pengendali laman tersebut terpaksa memohon maaf secara terbuka keesokannya.
Saya berasa simpati kepada pengendali laman yang malang itu, gara-gara tekanan itu terpaksa pula memberhentikan ruangan tersebut buat selama-lamanya. Bagi menguji kebebasan laman web ini, saya menghantar tulisan ini kepada mereka untuk siaran. Kita lihatlah hasilnya nanti.
Sebelum ini pun saya ada meluahkan perasaan mengenai perkara ini dan menghantarnya kepada mereka juga, tetapi ternyata tidak dipedulikan langsung. Mungkinkah ini satu senarai hitam? Yang manghairankan, rupa-rupanya disebabkan teguran saya terhadap sikap pengendali laman Webreformis yang sanggup diperkakaskan itu, menyebabkan saya turut disenarai hitamkan oleh laman-laman web yang lain.
Amat menyedihkan apabila laman web yang diharapkan untuk berjuang membebaskan rakyat dari kongkongan pemerintah zalim rupa-rupanya sedang dikekang pula kebebasan suaranya. Mungkin sudah tidak wujud lagi kebebasan hakiki sebagai mana yang dilaung-laungkan oleh para pengendali laman-laman web itu, dahulu.
Saya sentiasa percaya bahawa rakyatlah yang lebih penting untuk diutamakan berbanding elitis politik seperti Saifuddin yang ditakuti oleh pengendali laman web itu. Sebab itu saya tidak pun merasa gundah jika pandangan melalui tulisan sebegini tidak diendahkan, sebab yang tidak mengendahkannya itu tidak sehebat mana pun. Sekadar berani dan hebat kerana menjadi perkakas sahaja bukanlah hebat. Khalid yang sedar itu memang hebat.

