Most Read
Most Commented
Read more like this

Sebagai mahasiswa kadangkala, saya terasa amat terkilan dan hampa dengan tindakan — tidak kira pelajarnya, pentadbirnya atau sesiapa sahaja yang cuba merendah dan memperlekeh kredibiliti mahasiswa sebagai golongan intelektual.

Saya cuba merujuk kepada Buletin HEP, Universiti Malaya, Bicara HEP (Hal Ehwal Pelajar) yang diterbitkan setiap hari Jumaat. Buletin bertarikh 22 Nov, 2002 itu mudah diperolehi di kolej kediaman dan lokasi awam di sekitar kampus.

Saya mendapati usaha mengheret politik luar ke dalam kampus semakin ketara, malah bukan lagi menjadi rahsia. Beberapa artikel, iklan dan pengumuman yang disiarkan dilihat amat merendahkan kedudukan mahasiswa yang mempunyai idealisme merdeka bagi kepentingan bangsa dan negara.

Sebagai contoh, penyiaran artikel bertajuk 'Temuduga Calon Tajaan Hal Ehwal Pelajar' yang amat berkait rapat dengan suasana bahang politik kampus sekarang, sangat mengejutkan.

Belum pernah lagi ada sebarang temuduga dijalankan bagi memilih calon dalam mana-mana pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa, apatah lagi ianya dijalankan oleh HEP. Artikel yang sama turut menyatakan tarikh temuduga dan kriteria pemilihan. Malah mereka yang terpilih turut dijanjikan imbuhan.

Seterusnya artikel 'Bengkel Kepimpinan Hal Ehwal Pelajar' pula menawarkan kursus kepimpinan bagi calon-calon tajaan HEP. Penglibatan Biro Tatanegara tidaklah mengejutkan, tetapi apabila penglibatan Pemuda dan Puteri Umno sebagai penganjur bersama turut dinyatakan, saya berasa ini amat bersalahan dengan undang-undang dan sepatutnya tidak berlaku.

Jadual-jadual bengkel, tempat dan pihak yang terlibat turut disertakan. Walaupun dinafikan bagi tujuan politik, penglibatan seperti ini tidak langsung mencerminkan ketinggian idealisme mahasiswa, malah hanya menyerahkan mahasiswa kepada arus politik kepartian luar kampus.

Sekadar menyatakan sebahagian daripada artikel terbabit, saya merasakan maruah dan masa depan politik kampus sudah dinodai dan tindakan sewajarnya amat dinantikan. Saya sekadar pemerhati luar yang keliru.

Budaya politik kampus yang murni amat tercemar, universiti sebagai taman ilmu dan budi, hilang harganya. Saya mempertikaikan hal ini dan merasakan ianya perlukan perhatian semua pihak.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS