Keberanian Malaysiakini dipuji
Saya tertarik dengan tulisan Cakeraoptik bertajuk Malaysiakini tanam kebencian yang disiarkan semalam.
Pertama sekali, syabas kepada editor malaysiakini yang sentiasa bersikap terbuka dengan menyiarkan tulisan yang mengkritik diri sendiri. Inilah keberanian dan etika kewartawanan yang patut dipuji dan perlu dikekalkan.
Saya sentiasa mengikuti perkembangan malaysiakini dari dulu hingga kini. Saya ingin menarik perhatian pembaca dan saya ingin mengajukan soalan berikut kepada Cakeraoptik: apakah kemajuan mengikut kehendak masa yang dimaksudkan?
Adakah hanya dengan melaporkan berita dan artikel yang menunjukkan kemajuan material negara ini bermakna editor-editor berkenaan tergolong di dalam masyarakat yang memajukan diri mengikut kehendak semasa?
Tulisan Cakeraoptik sebenarnya mendedahkan betapa sempit dan dangkalnya pemikiran beliau. Berita-berita seperti tanah runtuh, saman trafik, rasuah dan lain-lain yang disiarkan malaysiakini ditafsirkan sebagai menanam kebencian.
Kebencian apa yang dimaksudkan? Yang pasti, maklumat inilah yang mendidik kita supaya bencikan apa sahaja tindakan yang tidak betul, tidak kira oleh siapa. Maklumat tanpa ubahsuai dan tapisan inilah yang membentuk minda kita supaya tahu keadaan sebenar agar kita dapat menilai sendiri dengan akal fikiran yang waras dan terbuka sebelum membuat keputusan.
Menuduh kebenaran sebagai berunsur kebencian sebenarnya mencerminkan pemikiran seseorang itu yang pada hakikatnya benci pada kebenaran.
Percayalah, kita berhak untuk mendapatkan segala maklumat yang benar tanpa maklumat itu dimanipulasi, diubahsuai, disorok atau ditapis untuk menjadikan ianya berfungsi sebagai pencetus kepada minda yang positif dan berkembang.
Minda yang positif inilah yang boleh kita digunakan untuk membuat keputusan dan tindakan yang boleh kita anggap memajukan diri sendiri dan bukannya tulisan dan artikel palsu atau diubahsuai yang hanya akan menyeronokkan sesetengah pihak, khususnya Cakeraoptik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.