Tohmahan-tohmahan yang dilemparkan pengarang surat Laporan berbentuk kritikan berniat jahat jelas menyimpang dan tidak masuk akal.

Kalau hendak bercakap tentang berita remeh, rujuklah sahaja kepada rencana yang dipaparkan oleh media arus perdana berkenaan ketupat dan kuih bulan terbesar di dunia  Ntv7 milik Menteri Pertanian Datuk Mohd Effendi Norwawi. Dan RTM1 and RTM2 adalah milik rakyat? Kalau begitu, percayalah juga, pembaca budiman, bahawa kedua-dua stesen tersebut sebenarnya diuruskan oleh orang halus and orang bunian.

Renunglah: Para pengamal media lapisan pengurusan atas rata-rata memakai gelaran Datuk dan nenek kebayan. Untuk apa mereka ini dianugerahkan status tersebut? Untuk perkhidmatan setia dan tidak ternilai? Untuk titik-peluh dan bakti yang dicurahkan kepada "negara"?

Tahukah anda berapa ramai bekas wartawan yang menjadi setiausaha akhbar menteri? Bukankah timbalan menteri penerangan hari ini Zainudin Maidin merupakan bekas pengarang kumpulan Utusan?

Seperkara penutup, adakah berasas " conspiracy theory " diajukan oleh penulis yang mengaitkan malaysiakini dengan kepentingan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim? Penulis surat tersebut bertanya, "Adakah ianya di bawah biayaan yang besar oleh Anwar dan Keadilan?"

Sudah pernah disiarkan lidah pengarang yang menjelaskan secara terperinci sokongan kewangan serta barisan pemilik malaysiakini . Terimalah bahawa keadaan masakini, iaitu gelombang reformasi, adalah antara faktor yang mempelopori dan mempopularkan laman-laman web sebagai sumber alternatif berita yang betul dan bernas. Secara tidak disengajakan, projek gergasi Multimedia Super Corridor memberi kesan sampingan yang tidak diduga kerajaan.

Nak dibaca media perdana ataupun malaysiakini ? Tepuk dada, tanya selera.