Amat mengecewakan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan membentangkan Bajet 2014 yang melupakan sensitiviti terhadap masyarakat India di negara ini.

Masyarakat India sentiasa dianaktirikan oleh kerajaan BN.

Ini dapat dibuktikan dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri bahawa subsidi gula dikurangkan sebanyak 34sen dengan serta merta.

Pembentangan bajet dibuat pada hari Jumaat, pada hari esoknya harga gula dinaikkan di pasaran seluruh negara.

Kerajaan BN sengaja lupa bahawa kaum India yang beragama Hindu akan menyambut perayaan Deepavali minggu ini.

Tanpa mengambil kira sensitiviti dan keprihatinan terhadap masyarakat India, kerajaan menaikkan harga gula dalam musim perayaan.

Tindakan kerajaan yang tidak mempedulikan masyarakat India ini sudah pasti akan menambahkan beban kaum India terutamanya golongan miskin yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kalau perdana menteri benar-benar berterima kasih kepada masyarakat India sudah tentu beliau tidak akan mengumumkan kenaikan harga gula seminggu sebelum perayaan Deepavali.

Saya berpandangan bahawa ucapan nandri (terima kasih) kepada masyarakat India oleh perdana menteri sewaktu membentangkan Belanjawan 2O14 bukanlah ikhlas malah boleh dianggap sebagai satu perli atau gurauan sahaja.

Saya telah membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat sebagai pencelahan sewaktu ahli Parlimen Wangsa Maju membahaskan Belanjawan 2014 berkaitan dengan isu pengurangan subsidi gula.


V SIVAKUMAR ahli Parlimen Batu Gajah dan timbalan Pengerusi DAP Perak.