Hubungan Kelab Umno-Hizbi makin erat
Perhimpunan musim sejuk yang dianjurkan oleh Hizbi UK dan Republik Ireland pada tahun ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga Malaysia yang menuntut di sana.
Sambutan amat menggalakkan sehingga Hizbi terpaksa menganjurkan dua perhimpunan, satu untuk warga di Republik Ireland (pada 21-23 Disember 2002) dan satu lagi untuk warga di United Kingdom (pada 24-27 Disember 2002).
Tahun ini merupakan julung kalinya program perhimpunan musim sejuk Hizbi diadakan dengan mengambil konsep "percutian" sambil mengupas bab aqidah berdasarkan kitab hadith 40 Imam Nawawi. Kedua-dua program menggunakan tema dan konsep yang sama.
Oleh kerana sudah menjangka sambutannya amat menggalakkan, pihak penganjur terpaksa mewajibkan semua peserta untuk membuat pra-pendaftaran atas dasar 'yang cepat dapat'. Justeru itu, permohonan ramai warga Malaysia yang berhasrat untuk menghadiri program itu terpaksa ditolak kerana tempat yang terhad.
. Program di Republik Ireland yang baru berakhir telah dihadiri peserta dari seluruh republik itu dan Ireland Utara. Ianya turut mendapat sokongan persatuan komuniti Melayu Cork..
Malah, presiden Kelab Umno, Tengku Rahim Tengku Ramli, dan bekas presiden Kelab Umno Ireland, Zaki Zamani Abdul Rashid, turut menghadirinya.
Kehadiran kedua-dua pemimpin Kelab Umno itu disambut mesra oleh presiden Hizbi sebaik sahaja mereka sampai di tempat program itu diadakan. Mereka dibawa ke dewan ceramah untuk bertemu rakan-rakan.
Bagaimanapun, amat dikesali kerana mereka tidak berpeluang untuk turut sama mengikuti aktiviti-aktiviti dalam program tersebut kerana kapasiti dewan yang tidak mengizinkan dan mereka tidak mendaftar lebih awal, sepertimana peserta lain.
Bagaimanapun, amat diharapkan pertemuan ringkas di perhimpunan musim sejuk Hizbi di Republik Ireland akan membolehkan hubungan mesra diteruskan di masa hadapan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.