Most Read
Most Commented
Read more like this

Hangat diperkatakan kini tentang gejala ceti haram atau 'along' yang begitu berleluasa di sekitar bandaraya. Namun begitu perlu diingatkan juga di sebalik keghairahan kita memperkatakan tentang isu ini, terdapat juga ceti-ceti haram yang begitu berpengaruh dan telah lama beroperasi setelah kegiatan mereka dibenarkan oleh pihak kerajaan (tanpa disedari).

Ceti-ceti millennium ini yang berselindung di sebalik nama koperasi dan juga menggunakan kemudahan potongan gaji Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), telah mendapat pulangan cukup lumayan tanpa risiko tinggi setelah pembayaran balik pinjaman diurus oleh pihak Angkasa dan majikan.

Bayangkan sebagai contoh, seorang peminjam akan hanya menerima wang tunai RM1,600 tetapi terpaksa membayar balik pinjaman sebanyak RM4,800 dalam tempoh empat tahun. Peminjam pula cuma hanya perlu mengisi borang pinjaman serta menandatangani Arahan Hantaran (Delivery Order) yang kononnya untuk membeli peralatan eletrik dan sebagainya tetapi menerima wang tunai tersebut. Kelulusan pinjaman pula begitu cepat (dalam tempoh 24 jam) sehingga mengalahkan proses pinjaman bank-bank perdagangan yang ada di negara ini .

Industri ceti millennium ini sebenarnya telah mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun dan dalam sesetengah kes, pihak pengurusan koperasi sendiri terlibat memastikan 'dana pinjaman' mencukupi untuk kemudahan ahli supaya keuntungan yang diterima berkekalan. Terdapat juga penglibatan ahli-ahli politik bagi mengukuhkan kedudukan syarikat mereka dan sehingga kini tindakan pihak kerajaan keatas ceti-ceti millennium ini ibarat melepaskan batuk di tangga .

Buka sahaja dalam ruangan iklan dalam akhbar harian; kita melihat puluhan iklan pinjaman wang segera di dinding mana-mana bangunan di sekitar bandar. Tidakkah ini mengambarkan kepesatan industri tersebut?

Yang lebih malang, hampir 95 peratus peminjam adalah daripada golongan Melayu yang bekerja di sektor kerajaan. Pernah sekali penulis melihat slip gaji peminjam yang "tiada berbaki" akibat potongan gaji majikan. Masalah sampingan akibat terpengaruh dengan skim pinjaman segera ini begitu ketara walaupun ianya tidaklah dilihat seperti dalam kes-kes keganasan yang ditimbulkan oleh along.

Sampai bilakah pihak berkuasa akan mengambil tindakan keras terhadap golongan ini, sama-samalah kita nantikan. Tepuk dada tanya selera.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS