Sejak kebelakangan ini, saya merasa pelik apabila mendapati beberapa foto yang pernah disiarkan dalam laman web malaysiakini , mula muncul mengiringi rencana-rencana yang disiarkan dalam laman web rasmi Pemuda Umno Malaysia.

Sebagai contoh, dalam lidah pengarang laman web Pemuda Umno yang bertajuk ' Kerajaan tidak bertindak secara selektif dalam isu SAR ' , foto hiasan yang digunakan, adalah sama dengan yang pernah digunakan dalam malaysiakini . Dan perkara yang sama berlaku dalam beberapa lagi rencana yang disiarkan dalam laman web pergerakan itu.

Ini membuat saya bertanya-tanya, apakah yang sebenarnya berlaku. Apakah pihak laman web Pemuda Umno Malaysia menggunakan foto-foto tersebut dengan izin malaysiakini atau sebaliknya.

Ataupun, apakah Pemuda Umno Malaysia dan malaysiakini sudah menjadi kawan akrab hingga boleh menggunakan bahan yang diterbit dalam laman web malaysiakini .

Ini menjadikan seolah-olah laporan polis oleh Pemuda Umno yang mendakwa sepucuk surat yang disiarkan laman web itu, berunsur hasutan kerana mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu serta serbuan dan rampasan komputer dari malaysiakini oleh pihak polis sebagai satu sandiwara politik semata-mata.


Pengarang:

Malaysiakini telah pun menghantar surat kepada Pemuda Umno untuk memaklumkan perkara diatas dan masih menunggu jawapan mengenainya.