Keamanan atau pembaziran?
Satu ketika dulu, saya pernah berbual dengan Eric Paulsen. Selasa lalu, apabila terbaca tulisannya mengenai kempen Aman Malaysia, ingatan saya lantas kembali kepadanya. Walaupun alasan saya dan Eric tidak menyokong kempen itu tidak sama, tetapi saya perlu utarakan di sini mengapa kita tidak patut menyokongnya.
Saya mungkin tidak seperti Eric yang tidak mahu menyokong kempen tersebut kerana ia dipelopori Pemuda Umno, tetapi mengapakah Pemuda Umno tidak pernah terfikir untuk menyertai demonstrasi anti peperangan secara percuma yang dianjurkan oleh Stop War Coalition? Ia tidak melibatkan wang ringgit rakyat dan ia tidak menyentuh walau sedikit pun harta negara.
Pada malam kemuncak kempen tersebut, saya menyaksikan deretan puluhan bas dengan mata sendiri dan bukannya melalui televisyen. Dan saya juga menyaksikan puluhan ribu rakyat jelata, yang menitikkan peluh setiap hari mencari rezeki untuk membayar cukai kepada kerajaan, berpusu-pusu ke stadium tersebut.
Jangan salah faham, saya tidak ke sana untuk menyertai perhimpunan, sebaliknya dalam perjalanan ke tempat kerja. Apa yang jelas ialah berlakunya pembaziran. Berpuluh, mungkin beratus bas yang datang dari ceruk Hulu Tembeling, atau pekan Kecil di Kota Tinggi, tentunya memerlukan minyak yang telah naik harganya tiga hari lalu.
Bukankah ini satu pembaziran? Perjalanan saya menuju ke tempat kerja malam itu agak bertuah kerana diiringi sebuah helikopter yang menyuluhkan lampunya yang beribu-ribu watt ke arah jalanraya. Helikopter tersebut juga memerlukan minyak dan ianya memang dibeli dengan duit kerajaan.
Sepanduk yang diangkat Pemuda Umno Kota Tinggi dan baju T-shirt percuma yang dipakai gadis pingitan dari Sungai Siput juga adalah dari duit kerajaan Malaysia. Dan duit ini adalah hasil cukai tanah, cukai pintu, cukau jalan dan pelbagai lagi jenis cukai yang anda bayar.
Jangan selepas ini anda merungut pula kenapa harga minyak dan barangan keperluan meningkat naik, kerana anda sendiri yang menyebabkan ia naik. Anda semua tidak kisah wang rakyat digunakan semata-mata untuk bermegah, kononnya Malaysia satu-satunya negara yang menjalankan kempen mengumpul tandatangan anti-peperangan dan kemudiannya berhimpun di sebuah stadium yang besar.
Apakah anda fikir artis yang terkinja-kinja di depan anda itu mahu datang dengan percuma mendermakan suaranya? Anda pasti tidak tahu berapa bayaran yang diterima oleh individu yang menjadi co-ordinator persembahan para artis malam tersebut? Duit juga diperlukan untuk membayar elektrik untuk menyalakan lampu stadium pada malam itu.
Anda fikir sekretariat Aman Malaysia yang ditubuhkan itu mahu bekerja tanpa gaji? Jika saya sekalipun, wang akan diletakkan di tempat yang paling utama dalam pekerjaan, kerana hari ini wang menjanjikan kita kehidupan yang sempurna.
Mengapa tidak gunakan wang itu untuk memberitahu dunia yang kita bencikan kemiskinan, kebuluran dan kita berusaha mahu menghapuskan pelbagai jenis gejala berbahaya seperti dadah, Aids dan juga rasuah? Bukankah ia lebih berbaloi.
Andainya satu hari nanti, Presiden George Bush mengumumkan bahawa beliau tidak bercadang untuk meneruskan serangan yang dirancang ke atas Iraq dengan alasan hatinya tersentuh melihat anak-anak kecil dan gadis-gadis sunti melaungkan slogan kedamaian di Bukit Jalil, Malaysia, sila hubungi saya kerana saya mahu menandatangani borang sebagai ahli Pemuda Umno Malaysia.

