Pandangan bahawa pelajar pelajar sekolah agama rakyat (SAR), apabila dewasa, menjadi pro-pembangkang mesti ditolak habis-habisan.

Saya bekas pelajar sekolah missionary dan menuntut di London, adalah pendukung kuat perjuangan PAS. Adakah sekolah missionary harus dipersalahkan?

Jika kita lihat, keputusan pilihanraya universiti-universiti utama memihak kepada pembangkang - apa alasannya? Kebanyakan pelajar-pelajar ini datangnya dari sekolah menengah sains (SMS), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Tengku Kurshiah (TKC), hanya satu dua orang dari SAR. Apakah sekolah-sekolah ini juga 'sarang pembangkang'?

Bangkangan terhadap dasar kerajaan wujud bukan kerana sistem pelajaran. Ia wujud kerana pemerintah itu zalim dan tidak bertanggung jawab.

Atau perlukah kita tutup SMS, MCKK, MRSM, TKC kerana mereka juga didapati menjadi 'sarang pembangkang'?