Saya ingin memberikan sedikit pendapat mengenai isu kempen monogami yang telah dilancarkan oleh gabungan 12 persatuan yang juga telah dihadiri dan disokong oleh lebih-kurang 25-30 persatuan serta parti-parti politik yang lain.

Pertama sekali, saya mengucapkan syabas kepada gabungan tersebut dan juga kepada para hadirin pada hari itu kerana ketabahan dan kegigihan mereka di dalam memperjuangkan nasib wanita di negara ini.

Apa yang biasanya membuat saya rasa terkilan adalah respon dari pihak tertentu, termasuklah para ulama dan juga sesetengah pertubuhan-pertubuhan lain yang sering terlalu emosi dan seolah-olah hanya mampu mengajukan kata-kata yang kerapkali berbaur amaran dan ugutan, "jangan soal ini, jangan pertikaikan itu, hanya boleh bincang yang ini, orang sekian-sekian tak boleh bercakap" seolah-olah langsung tidak menghiraukan fakta-fakta jelas dari sejarah tamaddun Islam dan realiti semasa.

Kenapa apabila timbul sahaja isu wanita, pihak-pihak tersebut cepat berselindung di sebalik alasan "melanggar hukum syarak" dan menakut-nakutkan masyarakat dengan tujuan menyenyapkan sebarang perbincangan?

Apabila saya terbaca mengenai kempen ini, saya memang telah mengagak timbalbalas daripada contohnya, para ulama dan pemimpin PAS akan berunsur amaran seperti di atas.

Tetapi timbalbalas daripada sesetengah ahli akademik, ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan ketua Wanita Parti Keadilan Nasional sekarang membuat saya ragu sama ada mereka benar-benar mahu meluaskan ruang demokratik untuk perdebatan dan perbincangan.

Saya masih belum nampak timbalbalas yang jelas dan kukuh dari pihak pengkritik kenapa tindakan menyarankan dan menganjurkan benda yang baik-baik - keluarga monogami di mana satu suami dan satu isteri saling sayang-menyayangi - tiba-tiba begitu mencabar.

Saya hampir tidak boleh percaya apabila membaca bahawa menggalakkan monogami boleh dianggap "menentang hukum syarak dan merosakkan akidah"! Di mana dalilnya dan logik di sebalik tuduhan ini?

Samalah dengan kempen mengurangkan gula. Gula memang wujud, tetapi lebih baik jangan terlalu banyak kerana memudaratkan. Adakah para pengkritik akan menuduh pula pihak kempen tersebut itu sebagai satu gerakan anti-gula yang akan "mengharamkan" sesuatu yang "halal"?

Saya baru mendapat tahu bahawa cicit Rasulullah, Sakinah, telah meletakkan syarat cerai taqliq sekiranya suaminya berkahwin lagi. Pada masa yang sama Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya mengatakan bahawa perkara ini (yakni meletakkan syarat di dalam taqliq) tidak boleh dilaksanakan kerana ia "bertentangan dengan Islam".

Bagaimana pula dengan hadith berkenaan anak Rasulullah, Fatimah? Saya juga pernah mendengar hadis di mana Rasulullah telah membenarkan seorang wanita menuntut cerai walaupun suaminya seorang yang baik-baik dan tidak menyakitinya. Wanita tersebut mengatakan bahawa dia telah hilang kasih sayang terhadap suaminya dan ini telah diterima oleh Rasulullah. Apakah ulasan ulama mengenai isu-isu ini?

Negara-negara Islam lain begitu maju dalam berusaha untuk mempertingkatkan daya wanita untuk melindungi mereka. Syarat tambahan taqliq mengenai poligini sudah lumrah di negara Islam lain. Adakah para pengkritik menganggap mereka ini juga "melanggar hukum syarak", "rosak akidah" dan "meniru feminis Barat" dan sebagainya?

Tatkala negara-negara Islam lain memupuk serta menggalakkan perbincangan secara terbuka, mengapakah para pengkritik monogami ini masih seolah-olah "tidak ambil pusing" apabila wanita ditindas dan dibelenggu ketidakadilan? Apabila lelaki mempermainkan prosedur yang sedia ada dan menggunakan "pintu belakang" untuk berpoligini, kenapa mereka tidak dilemparkan dengan kata-kata seperti "menghina Islam", "terlalu mengikut emosi dan tidak mengawal nafsu"?

Sebagaimana seorang wanita telah menegur Sayyidina Umar mengenai isu mahu kahwin, begitulah juga saya sebagai wanita ingin menegur para ulama serta para pengkritik yang lain supaya lebih berhati-hati, tidak meledak secara emosional dan terburu-buru dalam menuduhkan sesuatu itu sebagai "melanggar hukum syarak" kerana lama-kelamaan masyarakat kita akan menanggap ungkapan itu hanya sebagai satu petanda bahawa para pengkritik tersebut tidak mampu berbincang secara rasional dengan hujah kukuh lain.

Sekadar menuduh orang lain sebagai "bukan pakar agama" tidak memadai. Masyarakat sekarang mempunyai akses kepada maklumat dari berbagai perbincangan mengenai Islam dan sekarang sememangnya lebih arif tentang peranan mereka dalam memperbincangkan soal-soal agama.

Pada saya, apa yang menjejaskan imej Islam dan merugikan umat Islam adalah apabila sesuatu ummah itu nampak seolah-olah ianya tidak berupaya untuk membincangkan sesuatu isu itu dengan rasional berdasarkan fakta, malah terlalu cepat menutup gerbang perbincangan atas alasan "bercanggah dengan hukum syarak".