Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya merujuk kepada tajuk-tajuk berita terkini yang hangat membahaskan isu kempen 'Satu Suami Satu Isteri' anjuran Gabungan Hak Wanita Dalam Islam. Sebagai seorang lelaki, saya amat hairan dengan pihak-pihak yang mengecam kempen monogami ini. Saya tidak nampak mengapa tindakan pelbagai pertubuhan wanita ini perlu ditafsirkan sebagai "bertentangan dengan hukum syarak" atau "menjejaskan akidah umat Islam".

Menurut kefahaman saya sendiri, kempen ini bukannya bertujuan membatalkan poligini dalam Islam. Sebaliknya, ia hanya cuba melindungi hak-hak wanita Muslim dalam isu perkahwinan. Saya rasa kempen ini memberi fokus kepada satu isu yang penting sekali, iaitu menggalakkan perkahwinan monogami.

Sebagai seorang lelaki beragama Islam, saya telah berkali-kali menyaksikan bagaimana konsep poligini dalam Islam telah disalahtafsirkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menindas kaum wanita.

Kalau seorang isteri itu tidak bersetuju dengan keputusan suaminya untuk berkahwin lagi, mengapa perlu kita melarangnya meminta cerai? Apakah salahnya menggalakkan kaum lelaki supaya lebih bertanggungjawab terhadap kaum wanita? Di dalam Islam, bukankah perkahwinan itu sepatutnya satu kontrak antara dua pihak yang setaraf?

Saya rasa kempen monogami ini sedang dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan dan tidaklah hanya menurut "emosi" penganjur-penganjurnya sepertimana yang dituduh oleh sesetengah pihak. Malah, saya rasa bahawa gesaan untuk menghentikan kempen inilah yang kurang rasional dan berlandaskan emosi.

Apa yang perlu ditakutkan? Islam sentiasa menuntut keadilan. Untuk mencapai keadilan ini, Islam sentiasa menuntut perbincangan terbuka yang disertai oleh seluruh umatnya, bukan hanya sekelompok kecil yang membuat keputusan untuk seluruh umat Islam. Janganlah kita biarkan imej Islam terus terjejas kerana tindakan segelintir pihak yang kurang rasional dan emosional. Kita sepatutnya mengucapkan syabas kepada Gabungan Hak Wanita Dalam Islam kerana menerajui perjuangan yang murni ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS