Hormati hak berhimpun secara aman
Pada 29hb Mac 2003 yang lalu, rakyat Malaysia yang menentang peperangan ke atas Iraq telah turun ke jalan bagi menunjukkan bantahan mereka secara terbuka.
Dua perhimpunan aman telah diadakan. Satu ialah Perhimpunan dan Perarakan Aman Malaysia bermula di Padang Merbuk dan berakhir di Dataran Merdeka, anjuran Pemuda Umno. Manakala satu lagi perhimpunan aman telah dianjurkan oleh Gabungan Rakyat Malaysia Anti-Perang, diadakan di perkarangan KLCC kira-kira pada pukul 2.30 petang dan dihadiri oleh pertubuhan-pertubuhan NGO, parti politik, aktivis-aktivis serta orang awam yang prihatin.
Gempar (terdiri daripada Majlis Persidangan Mahasiswa Islam, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara, Malaysian Democratic Students and Youth Movement, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia, Independent Student Resource and Legal Training Centre, Universiti Bangsar Utama, College New Era Anti War Committee, Food Not Bombs dan Radical Youth Action Collective) memuji dan menyokong kesungguhan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu peperangan yang sedang hangat ini.
Bahkan ini sebenarnya sejajar dengan pendirian pimpinan negara sendiri serta masyarakat antarabangsa yang membantah tindakan kejam US di Amerika.
Namun begitu, apa yang terjadi sewaktu perhimpunan tersebut adalah sebaliknya. Pasukan polis
dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di perhimpunan rakyat di KLCC telah menggunakan kekerasan dan ugutan untuk meleraikan perhimpunan tersebut.
Gas pemedih mata digunakan walaupun terdapat kehadiran golongan kanak-kanak dan orang tua yang turut menyertai perhimpunan tersebut.
Beberapa tangkapan yang tidak berasas telah dibuat ke atas 12 orang pimpinan politik, aktivis termasuk seorang peguam wanita dan beberapa orang awam.
Serbuan oleh FRU sehingga ke dalam kawasan KLCC bagi menangkap demonstran-demonstran yang masih berlegar di sekitar kawasan KLCC menimbulkan kekacauan dan gangguan awam. Kejadian ini mendedahkan bahawa yang ganas dan menggugat keselamatan negara bukanlah para demonstran yang mencintai keamanan, tetapi para anggota polis yang biadap dan tidak menghormati hak rakyat. Apa yang menyedihkan Gempar adalah kejadian yang seumpama ini tidak langsung berlaku di Perhimpunan Aman anjuran kerajaan Malaysia.
Gempar menegaskan wujud unsur double standards dalam hal ini, bila polis bersikap selektif dalam menjalankan kuasa dan tanggungjawabnya.
Ketua Polis Negara beserta Polis Diraja Malaysia harus bertanggunjawab ke atas tindakan keras dan tidak demokratik polis sewaktu perhimpunan di KLCC.
Sekiranya benar kerajaan Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia ikhlas dengan slogan "anti perang" yang diwarwarkan oleh mereka, maka rakyat yang berhimpun di KLCC sewajarnya menerima layanan yang sama sebagaimana yang diterima oleh rakyat yang menyertai Perhimpunan Aman, iaitu bebas dari sebarang ugutan, kekerasan dan diberi ruang serta masa yang cukup untuk berdemonstrasi.
Gempar mempertikaikan komitmen dan kejujuran kerajaan dalam menentang peperangan di Iraq rentetan dari peristiwa ini.
Gempar mendesak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia membenarkan rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan ideologi, bangsa dan kaum - untuk berhimpun secara aman tanpa sebarang sekatan bagi menyatakan pendirian secara kolektif. Ini merupakan hak asasi rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan harus dihormati oleh pemerintah dan penguatkuasa negara.
Soal sama ada perhimpunan di KLCC itu haram atau tidak sah tidak sepatutnya timbul kerana hak untuk berhimpun secara aman adalah milik rakyat Malaysia.
Tindakan Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia yang double-standard dan biased ini akan menjatuhkan lagi keyakinan dan kepercayaaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pendirian dan perjuangan kerajaan yang menentang peperangan.
Gempar merasa kesal kerana peristiwa yang berlaku ini merupakan contoh yang jelas betapa kerajaan gagal memahami bahawa bantahan oleh rakyat terhadap serangan ke atas Iraq bukanlah satu perjuangan peribadi atau propaganda agenda politik masing-masing, tetapi merupakan satu perjuangan ikhlas semua rakyat Malaysia yang telah mengenepikan perbezaan ras, ideologi dan agama bagi mendukung satu pendirian sahaja iaitu - Hentikan peperangan, kembalikan keamanan!

