Saya dengan teliti mengikuti isu sekolah Tamil yang ditimbulkan oleh Datuk M Kayveas. Tetapi sebelum itu, saya juga ingin memberitahu bahawa saya bukan ahli Parti Progresif Rakyat (PPP) ataupun MIC, tetapi warganegara Malaysia keturunan India.

Apa yang Kayveas katakan itu bukanlah perkara baru kepada kaum India, khususnya mengenai bahasa Tamil dan saya rasa ini bukanlah kali pertama beliau (Kayveas) menyarankan agar sekolah tamil ditutup.

Tetapi pada tahun 1996, beliau telahpun menyarankan demikian. Mungkin pada masa itu, Kayveas tidak popular seperi sekarang, maka tiada pihak yang menimbulkan isu ini. Dan mungkin kerana pada masa ini MIC kurang dapat sambutan di kalangan kaum India, maka ia dijadikan satu isu kononnya untuk membela nasib kaum India.

Walaupun MIC mengatakan mereka membela nasib kaum India, adakah ia betul-betul serius terhadap perkara tersebut. Saya ingin memberi sedikit pandangan berhubung perkara ini.

1) Selepas lebih 40 tahun kita merdeka, sekolah sekolah Tamil masih lagi dalam kategori sekolah bantuan modal.

2) Banyak sekolah sekolah Tamil masih terletak di kawasan ladang walaupun kaum India mula berpindah ke bandar lebih 15 tahun dahulu. Namun mereka masih menghantar anak ke sekolah Tamil yang terletak di ladang. Di tempat saya, sekolah Tamil kami terletak 18 km dari bandar.

3) Mereka yang menghantar anak ke sekolah Tamil adalah pekerja buruh, pemandu lori dan sebagainya. Saya ingin tahu berapa ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli majlis tertinggi (AMT) MIC menghantar anak mereka ke sekolah Tamil.

Sekiranya tidak, bermakna mereka tidak layak untuk menuduh Kayveas kerana sengaja mahu mencari publisiti berhubung isu ini.

4) Di negeri Johor, Ahli Exco Pendidikannya mengatakan keadaan sekolah Tamil seperti reban ayam - ini sudah cukup untuk kita menilai bagaimanakah keadaan bagunan sekolah Tamil di negara ini.

5) Seperkara lagi ialah mengenai guru sekolah Tamil. Ramai guru dari sekolah Tamil yang dihantar ke universiti untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan. Tetapi mereka tidak kembali ke sekolah Tamil, tetapi ditukar ke sekolah kebangsaan atau sekolah menengah.

Adakah ini adil kepada sekolah Tamil atau pelajar pelajar sekolah Tamil di mana guru yang berkualiti diserap ke sekolah kebangsaan dan guru yang ada di sekolah Tamil sekadar untuk mengisi tempat kosong sahaja?

Saya ingin tahu dari mereka yang menuduh Kayveas dan membuat laporan polis terhadapnya, bolehkan mereka menerangkan mengapakah selama 40 tahun ini, semua isu berkenaan masih tidak dapat diselesaikan oleh MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) India yang lain.

Sebelum membuat laporan polis, pergi melawat sekolah Tamil di ladang-ladang. Bandingkan keadaan dan taraf sekolah Tamil dengan sekolah kebangsaan. Sekiranya mereka boleh membuktikan bahawa nilai dan taraf sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan adalan sama, maka saya bersama tuan untuk membuat laporan polis.