Kerajaan perlu proaktif layani kritikan media asing
Sejak kebelakangan ini, media di negara ini kecoh dengan laporan mengenai Malaysia dalam majalah The Economist edisi 5 April lalu.
Laporan itu yang bertajuk 'The changing of the guard' telah menyebabkan pemimpin kerajaan, terutama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak tersinggung dan kecewa, sehingga ada yang mendesak supaya majalah ini disaman dan edarannya ditarik balik.
Laporan 16 muka surat itu, telah mengupas pelbagai persoalan yang pastinya tidak akan dikupas secara berani dan bebas oleh media arus perdana negara ini, seperti isu peralihan kepimpinan negara, cabaran parti PAS, kes Anwar Ibrahim, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan lain-lainnya.
Amat menghairankan, apakah motif sebenar isu ini ditimbulkan setelah majalah berkenaan telahpun berada di pasaran sejak kira-kira tiga minggu lalu.
Banyak pengajaran dapat diperolehi daripada isu ini, selain daripada kandungan laporan tersebut. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat beberapa fakta yang kurang tepat, namun ia tidak bermakna laporan ini harus dikecam tanpa ada sebarang perbincangan mengenai isu yang diutarakan.
Isu ini mendedahkan betapa kebebasan media di negara ini sukar diperolehi dan akan melalui jalan yang berliku. Ini baru media asing, bagaimana pula jika laporan ini diterbitkan oleh media di negara kita (tidak termasuk akhbar parti politik seperti Harakah , Suara Keadilan dan Suara ).
Sudah pasti tindakan keras akan diambil seperti didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan dan juga ditarik balik permit penerbitannya.
Menghairankan, mengkritik terhadap Dr Mahathir Mohamad dianggap seperti menghina Malaysia. Walaupun diakui beliau banyak menabur jasa dalam membangunkan ekonomi negara, itu tidak bermakna beliau tidak boleh dikritik.
Inilah yang dikatakan demokrasi ala Malaysia, 'demokrasi terpimpin' di mana ruang untuk mengkritik, dikritik, perbahasan, debat dan perbincangan ilmiah mengenai pelbagai isu, baik yang sensitif atau tidak, di pelbagai media, tidak digalakkan atas alasan ia akan menganggu ketenteraman awam dan menimbulkan rasa resah di kalangan rakyat.
Mereka ini seolah-olah memperlekehkan pemikiran rakyat yang semakin matang untuk berfikir tentang sesuatu isu dan dapat melihatnya dari pelbagai sudut kerana ingin menjaga kuasa politik.
Tidakkah mereka sedar atau sengaja buat-buat tidak bahawa ianya akan memberi kesan buruk kepada negara di mana akan lahir masyarakat yang tidak rasional, tidak mampu berhujah secara objektif dan berfikiran tertutup kerana menerima pandangan hanya dari satu pihak!
Ia secara tidak langsung akan menyebabkan salah satu daripada sembilan tonggak Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr Mahathir, iaitu mahu mewujudkaan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan sebuah masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada semua negara membangun, akan gagal dicapai.
Hujah yang sering diberi kepada wartawan asing yang membuat laporan yang menyinggung kerajaan adalah mereka ini tidak memahami apakah yang sebenarnya berlaku negara ini.
Ini adalah pendapat yang amat dangkal kerana jika kita menggunakan premis ini, wartawan Malaysia juga tidak layak untuk membuat liputan dan laporan khusus tentang sesuatu isu yang berlaku di luar negara, contoh terbaru ialah isu perang Iraq dan wabak Sars.
Harus diingatkan, kita berada dalam dunia globalisasi di mana kepelbagaian pandangan dan idea adalah satu lumrah dan pandangan dunia luar terhadap sesuatu negara itu amat penting untuk memperbaiki diri.
Yang terpenting, penerangan dan berlapang dada untuk membahaskan sesuatu isu itu yang harus diberi perhatian kerana ia secara langsung dapat membetulkan apa yang kurang tepat, bukannya hanya tahu untuk menyaman dan menyekat.
Jika ada masyarakat di negara kita ini yang tertutup mindanya, baik di kalangan yang pro-kerajaan, pro-pembangkan dan bebas, ia adalah produk langsung yang dilahirkan oleh dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan!

