Saya bersimpati sungguh dengan Farish A Noor, melalui luahan rasanya dalam ' My final Column '. Pemikir seperti beliau, dan beberapa lagi yang saya kenali, tentu 'sangat sedar' penyakit yang sedang tenat dialami oleh bangsa Malaysia hari ini.

Tetapi saya sama sekali tidak menduga Farish sanggup 'tunduk' kepada sebuah tulisan seremeh yang dikemukakan oleh Marissa Dell, kebetulan pula merangkumkan saya dalam kritikannya terhadap Farish, walau ada tempat-tempatnya kritikan itu tidak adil kepada saya.

Dengan kata lain, hanya Farish yang berpendapat begitu, tetapi Marissa merumuskan 'kami berdua' berfikir begitu. Cara pandangan ini sahaja sudah cukup menjadikan kritikan balasnya cacat.

Penulis surat itu tidak sabar dan tidak bertenang untuk mengambil satu per satu idea yang kami kemukakan dan mengemukakan perspektifnya. Cara debat yang diolah oleh Marissa sejenis cara buruk yang dipopularkan oleh orang politik, termasuk pembangkang.

Tradisi ilmiah, yang sihat dan teratur, tidak memungkinkan gaya persembahan seperti itu. Lalu kami berdiam diri, bukan takut menjawab, tetapi wajarkah semua jenis kritikan balas, sama ada cerdik atau tidak, diberikan layanan?

Tulisan penulis surat ini dalam bahasa Inggeris, dan andaian saya tentunya dia seorang yang berpelajaran tinggi, mungkin mendapat pendidikan di Barat atau setidak-tidaknya terdedah kepada idea-idea politik dari sana. Tetapi tersembunyi di balik tulisan Marissa itu ialah 'pemikiran yang cetek' sahaja.

Pada mulanya saya bercadang untuk menulis sebagai jawapan kepada penulis surat itu. Tetapi apabila membaca perenggan-perenggan akhir surat itu, saya kemudiannya mengambil sikap berdiam diri sahaja 'dan menyembunyikan sedikit rasa kecewa'. Jika tidak kerana tulisan terbaru Farish, saya tidak mungkin menulis surat jawapan di sini.

(Bukan soal keangkuhan, atau rasa terlalu yakin pada idea sendiri, atau berasa idea saya itu sudah baik dan tidak wajar dikritik tetapi 'seni berdebat' melalui tulisan seperti kupasan Marissa itu tidak menarik langsung untuk diberikan layanan, kecuali jika kita mempunyai jiwa yang benar-benar 'ghairah' untuk melanjutkan diskusi reformasi seperti yang saya, dan Farish, telah mulakan dalam siri terbaru kami sejak pertengahan April).

Gelagat Marissa tidaklah baru atau ganjil. Di mana-mana sahaja mudah kita temui gelagat ini. Cara fikir yang tidak dapat bersabar dengan idea serta kupasan tetapi mudah tertarik pada penyampai idea. Perenggan-perenggan akhir penulis surat ini sudah 'tidak melayakkan' dia bercakap lebih canggih daripada itu.

Saya perasan gelagat seumpama ini dalam konteks yang lebih luas. Ada yang jenis mengkritik peribadi atau 'kelayakan' penyampai idea, seperti Marissa, dan jenis ini boleh ditemui dengan mudah bersama pembangkang atau kelompok politik kita.

Selalunya kita sedar bahawa latar pengetahuan mereka tentang tradisi berdebat tidaklah luas. Tradisi ini berkaitan sedikit sebanyak dengan bidang 'akademik' atau kritik sastera yang menjadi kekuatan utama budaya keilmuan Barat.

Ada pula yang melencongkan isu, dan tidak bertembung dengan idea teras yang disampaikan oleh pengemuka asal idea. Jenis ini selalunya muncul di dada-dada akhbar harian, disampaikan oleh pemimpin politik kerajaan atau wakil-wakil mereka. Kadang-kadang ia berulang-ulang. Misalnya, paling menjolok mata ialah pandangan orang besar New Straits Times , Abdullah Ahmad.

Baru-baru ini dia mengulangkan idea 'tidak ada kebebasan mutlak' apabila membicarakan soal kebebasan akhbar. Sebelum ini menteri atau pemimpin Umno, termasuk Abdullah Ahmad Badawi atau Dr Mahathir Mohamad, pernah mengucapkan penghujahan selapis ini.

Apakah mereka fikir kami, aktivis kebebasan media, menuntut kebebasan mutlak, tanpa tanggungjawab? Kita tahu berhujah seumpama ini sejenis propaganda, nampak manis di lapisan atas, tetapi tersirat kejahilan yang amat sangat!

Jenis ketiga, seperti disampaikan oleh Zainuddin Maidin tentang sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia baru-baru ini. Kononnya sambutan hari ini sejenis usaha Amerika Syarikat untuk menjajah dunia!

Faktanya salah, palsu, remeh dan memalukan. Tetapi mujur pengerusi DAP Lim Kit Siang, pada hari berikutnya, ada 'nafsu' untuk melayannya, lalu mendedahkan fakta sebenarnya.

Umumnya pemikir, aktivis atau pemimpin politik tidak berminat melayan semua itu. Saya kira, Farish Noor tidak harus melayan Marissa Dell dalam konteks yang sama.

Sebab itu saya sungguh terperanjat jika penulis surat itu berjaya 'meletihkan' Farish, lalu kolumnis ini berasa perlu menamatkan siri penulisan di akhbar web ini. Saya tidak dapat menampung rasa terperanjat apabila membaca 'My final column' walau saya 'sangat faham'

Bagaimana kita ingin menghidupkan budaya debat jika seni berdebat itu kita tidak kuasai? Debat seperti ini, seperti gaya Marissa (dan tidak kurang juga penulis surat lain di malaysiakini ), bukan sahaja ingin mengkritik penulis tetapi juga hanya melihat sisi buruk sesuatu sudut pandangan. Cara ini sempit, tidak sihat dan tidak mungkin mencerahkan minda kita bersama.

Cara debat yang sihat seharusnya kepada idea utama penulis atau penutur; bukan kepada kelayakan, jasad, peribadi atau moral penyampai idea. Pengkritik harus menunjukkan kelemahan, atau kepalsuan, sudut pandangan penulis dan kemudian mengemukakan sudut pandangan (yang dianggap) benar atau lebih bernas.

Jika penulis asal fikir pengkritiknya salah tanggap idea asal, dia boleh menulis surat balas untuk menjelaskannya. Jika kritikan itu bernas dan baik, akui sahaja - tidak perlu berkeras kepala.

Jika ada sudut pandangan yang baik daripada penulis, pengkritik mengakuinya. Ini cara debat yang sihat dan mencerahkan minda kita dan meningkatkan kebijaksanaan awam.

Lebih baik, lebih ramai orang menyertai perbahasan sesuatu isu atau tulisan melalui tulisan (bukan 'mengamuk' di kedai kopi) agar wujud kepelbagaian sudut pandangan.

Dalam surat Marissa, saya tidak kata semua pandangannya salah atau tidak bernas. Di awal tulisan itu, ada aspek-aspek penghujahan yang baik walau tidak dihuraikan dengan lebih panjang.

Tetapi tanggapannya di hujung surat itu, kononnya Farish dan saya tidak mewakili masyarakat umum yang luas, kerana kami bukan ahli politik, saya hanya mampu menggaru kepala! Cara berhujah ini juga wujud dalam sikap terhadap kritik sastera atau filem di negara kita, pengkritik atau wartawan dicabar agar membuat sendiri karya kreatif itu!