Most Read
Most Commented
Read more like this

Rakan-rakan yang berpengalaman menyebut bahawa penyelenggaraan majlis kenduri perkahwinan sememangnya rumit. Saya akui kebenarannya.

Walau bagaimanapun, kami sekeluarga amat bersyukur kerana pengurusan majlis pernikahan serta kenduri anak kami, Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berjalan lancar dan rapi.

Bantuan dan kerjasama keluarga, sahabat handai dan penyokong serta rakyat yang menentukan kejayaan acara tersebut. Kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan melalui pelbagai cara.

Kemeriahan majlis bergantung kepada sokongan mereka, dan ini pastinya lebih daripada apa yang telah kami rencanakan di peringkat awal. Angka kehadiran dalam majlis akad nikah dan kenduri amat memuaskan dan kehadiran ini mewakili semua kelompok masyarakat.

Majlis yang dianjur secara sederhana menjadi lebih berseri dan meriah dengan sambutan hangat sedemikian. Yang sama sekali tidak kami duga ialah kehadiran wakil daerah dan kampung yang tiba dengan membawa masakan seperti ayam goreng dan rendang daging kerana bimbangkan lauk di rumah untuk kenduri tidak mencukupi.

Saya kenangkan rakan-rakan dari Bentong, Padang Serai dan daerah lain di seluruh negara yang begitu bermurah hati.

Rasa kasih dan prihatin yang mereka zahirkan sukar ditandingi. Dalam suasana riang sedemikian, sukar kami sembunyikan rasa pilu dan hiba kerana ketiadaan Saudara Anwar Ibrahim dalam majlis kenduri perkahwinan anak sulung kesayangannya.

Anwar hanya dibenar pulang selama dua jam untuk menjalankan kewajipan sebagai wali kepada pengantin di hari akad nikah sebelum dibawa semula menaiki Pajero untuk kembali ke Sungai Buloh.

Kebenaran untuk Anwar pulang diberikan oleh pihak penjara di saat akhir setelah gagal menerima sebarang jawapan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hanya pada 10 Mei kami diberitahu bahawa kebenaran untuk menghadiri kenduri pada 10 dan 11 Mei ditolak!

Dugaan terhadap keluarga kami berterusan setelah cemas menunggu kepastian kehadiran Anwar di majlis akad nikah. Rakan-rakan hanya memutarkan rakaman video kehadiran singkat beliau itu untuk ditayang kepada hadirin di majlis kenduri.

Bahkan jadual akad nikah yang ditetapkan pada sebelah pagi terpaksa ditunda ke sebelah petang setelah Mahkamah Rayuan menetapkan prosiding perbicaraan pada waktu yang sama.

Hakim memberi perakuan dan meminta Peguam Negara, Datuk Gani Patail membantu menyokong permohonan Anwar untuk bersama keluarga. Malangnya ia tetap diketepikan.

Walau bagaimanapun kami berterima kasih kerana kerjasama pihak penjara membenarkan Anwar mengijabkabulkan Izzah dan Shahril.

Anwar meminta maaf kerana tidak dapat bersalaman dengan tetamu dan kepada pihak media yang tidak dibenarkan membuat liputan kerana kami terpaksa mematuhi syarat ketat pihak penjara. Maka atas kelemahan dan keterbatasan yang ada, kami juga memohon maaf.

Mengenai kebijaksanaan mengundang dari semua kelompok, perlu dijelaskan bahawa kami menjemput semua kenalan lama dan baru, lebih-lebih lagi kerana kami pernah menghadiri majlis kenduri mereka.

Lagi pun ia bukannya majlis politik dan ini merupakan kesempatan terbaik bersiratulrahim. Kita mesti berganjak memupuk budaya sihat dalam amalan hidup secara beradab dan bertamadun. Namun, prinsip perjuangan, iltizam dalam menuntut keadilan tetap segar bugar.

Kepada rakan taulan yang bertungkus lumus membantu, kami sekeluarga sungguh-sungguh hargai. Semangat dan persefahaman yang ditunjukkan berserta pengurusan majlis secara teratur amat kami kagumi.

Kami ulangi permohonan maaf atas segala kekurangan, jemputan yang tercicir dan layanan yang kurang memuaskan jika ada.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS