VCD haram: Jangan hukum artis yang malang
Kami, yang bertandatangan di bawah, berasa gusar dengan hasrat Kementerian Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengambil tindakan larangan ('gam') seorang artis wanita yang didakwa terbabit dalam satu rakaman cakera padat video (VCD).
Kami berpandangan tindakan ini terlalu terburu-buru dan masih belum ada siasatan terperinci atau laporan dibuat oleh pihak berwajib sehingga tidak memberi ruang penjelasan serta keadilan kepada artis yang didakwa.
Seperti dilaporkan akhbar-akhbar, rakaman video ini asalnya untuk kegunaan peribadi dan dirakam di dalam ruang persendirian. Malangnya, dipercayai juga bahawa rakaman ini telah dicuri, dicetak dan diedarkan secara haram di luar pengetahuan serta kerelaan artis itu dan suaminya.
Kami turut percaya, artis berbabit dan pasangannya tidak berhasrat untuk mendedahkan kehidupan peribadi mereka kepada umum. Bagaimanapun, pengedaran haram bahan rakaman ini telah meletakkan pasangan tersebut dalam keadaan yang sangat mengaibkan.
Kehidupan mereka selepas ini tentulah sangat sukar. Kami beranggapan, mereka tentunya sedang mengalami tekanan emosi yang luar biasa akibat jenayah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Oleh itu adalah tidak wajar orang ramai, apatah lagi pihak berkuasa berkenaan, menambahkan kesengsaraan kepada mereka. Pengedaran VCD ini secara tidak langsung menjadi sejenis 'hukuman sosial', walau pun sebenarnya sangat tidak adil kepada mereka atas sebab rakaman berkenaan dikatakan bukan untuk tujuan komersial.
Oleh itu, jika RTM dan kementerian berkenaan menggam artis ini, tindakan ini merupakan sejenis hukuman yang sangat berat serta tidak wajar kepada artis berkenaan dan pasangannya. Wajar ditekankan bahawa pengedaran VCD itu sendiri sejenis jenayah dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak lain.
Kami percaya, ruang persendirian setiap pasangan dan individu sebagai warganegara tertakluk kepada budi bicara masing-masing. Ruang ini tidak boleh dicerobohi oleh pihak-pihak lain dengan apa cara sekali pun.
Kami dengan ini menyeru kepada kerajaan agar tidak mengenakan sebarang bentuk tindakan larangan ke atas artis wanita itu (atau mana-mana individu) yang mengalami nasib malang seumpama ini.
Tindakan gam, bagi kami, sejenis bentuk diskriminasi, memanjangkan tekanan emosi, selain menutup periuk nasi beliau yang selama ini daripada bakat lakonan. Ruang peribadi tidak seharusnya dikuasai oleh kerajaan. VCD berkenaan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan kerjaya beliau.
Kami juga sangat prihatin dengan perkembangan terbaru ini. Gejala menyebarkan keaiban orang lain, yang dilakukan di ruang hak persendirian secara sulit-sulit, dengan mudah sahaja dibuka kepada umum melalui teknologi terkini, sama ada VCD atau di Internet.
Mendedahkan keaiban orang lain bukan sahaja dilarang oleh agama, nilai adab sopan semasa, bahkan jelas sejenis jenayah di mana-mana dunia bertamadun.
Oleh itu, sebelum bertindak, kerajaan melalui agensinya haruslah menyiasat terlebih dahulu motif dan konteks sebenar sesuatu rakaman, termasuk menimbang pandangan pihak yang terlibat di dalam dunia drama/lakonan.
Jika sememangnya rakaman itu bersifat peribadi dan untuk kegunaan peribadi, maka jelaslah ia bukanlah jenayah. Orang yang tidak bersalah tidak wajar dikenakan hukuman.
Yang benar,
Al-Jeefri, penulis skrip filem 'Paloh'
Aman Rais, kolumnis malaysiakini
Amir Sari, wartawan Radiqradio.com
Buddhi Hikayat, penulis seni budaya
Fathi Aris Omar, kolumnis & aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami)
Khairul Anuar A Zainudin, aktivis buruh & bekas tahanan ISA (siswa)
Koy, aktivis hak asasi
Rahmat Haron, penulis & penyajak

