Saya ingin merujuk kepada perkhidmatan Perbadan Urus Air Selangor (PUAS) yang bertanggungjawab menguruskan bekalan air di Selangor. Ini ekoran ketidaan bekalan air sejak 20 Mei lalu di di Bandar Baru Bangi, Kajang dan Semenyih.

Walaupun gangguan sementara mungkin boleh dimaafkan, tetapi ketiadaan air untuk beberapa hari tanpa notis dan penjelasan PUAS adalah amat mengecewakan. Saya difahamkan mereka yang terbabit tidak sedar menyedari mengenai gangguan bekalan air, kecuali seorang dua yang mendapat tahu mengenai melalui radio - itupun setelah gangguan berlaku.

Saya juga tidak nampak sebarang notis di akhbar atau televisyen. Malahan, laman web PUAS turut menyatakan "tiada gangguan bekalan air". Yang saya nampak, laman web tersebut asyik menekan soal bil dan bayaran.

Aduan di talian yang disediakan juga tidak membantu. Lebih mengejutkan apabila pegawai bertugas yang dihubungi di Hulu Langat, seolah-oleh 'terkejut' dengan ketiadaan air di kawasan saya (Bandar Baru Bangi) yang telah lama berlarutan. Katanya, dia akan pergi 'memeriksanya'.

Manakala petugas bahagian perkhidmatan pelanggan di ibupejabat PUAS di Kuala Lumpur pula memberitahu yang pihaknya sudah maklum mengenai perkara tersebut kerana menerima banyak aduan.

Apabila saya bertanya mengapa tidak menghantar air melalui lori tangki, beliau menjawab: "Susahlah nak dapatkan lori tangki". Sebelum ini, saya difahamkan oleh penduduk Fasa 2, Bandar Baru Bangi bahawa mereka telah dijanjikan penghantaran air melalui lori tangki.

Malangnya, lori tangki yang dijanjikan itu tidak muncul-muncul walaupun ramai yang menunggu dengan tong dan baldi masing-masing.

Alasan kepada ketiadaan air di Hulu Langat ialah pencemaran diesel di loji penapisan dan ianya terpaksa dibersihkan. Ini tidak mengejutkan saya.

Saban kali, pihak pembekal air akan menuding jari kepada kilang-kilang yang beroperasi di tepi Sungai Langat kerana mencemarkan air yang hendak di proses.

Saya teringat beberapa tahun lalu pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosnani Ibarahim, mendakwa terdapat begitu banyak kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Hulu Langat yang menjadi punca pencemaran air minuman.

Bagaimanapun, hingga hari ini kilang-kilang tersebut masih beroperasi atas alasan mereka memberi peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negara ini serta kebanyakan mereka mengeksport barangan ke luar negara.

Itulah alasannya walaupun ianya mencemarkan air minuman dan boleh memudaratkan kesihatan rakyat dan orang ramai yang juga kebanyakannya mengundi Barisan Nasional (Kawasan Parlimen Hulu Langat yang diwakili Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz dari Umno)?

Kepada pengurusan PUAS, saya berharap hendaklah mulalah mengangkat telefon, bercakap dengan berhemah, membalas e-mail komplen, dan memenuhi janji kepada pengguna.