Jangan biarkan kempen menentang ISA ditenggelami agenda perang Aceh
Buat semua teman di Malaysia, tahniah kerana sangat prihatin terhadap peperangan di Aceh. Peperangan di mana pun wajib kita tentang. Perang adalah senjata kapitalis dalam agenda neo-kolonialisme mereka di seluruh dunia.
Tetapi dalam masa yang sama, janganlah pula kita lupa bahawa di negara kita sendiri terjadi peperangan yang berpanjangan. Perang kita terhadap undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), juga wajib diteruskan tanpa kita tertipu dengan niat pemerintah kita yang sering mengambil kesempatan untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu peperangan.
Ketika berkesempatan membaca rayuan kepada masyarakat antarabangsa 'Tidak Kepada Penerusan Tahanan ISA! 2 Tahun Sudah Terlampau!' saya menjadi terkedu kerana di kalangan aktivis di Malaysia ketika ini ternyata ramai yang lebih sibuk dan disibukkan oleh agenda perang di Aceh.
Ketika perang di Aceh berlaku, sudah pasti rakyat (termasuk mereka yang mengaku aktivis Hak Asasi) akan terpesong perhatian mereka ke negeri serambi Mekah itu. Perkara ini wajar jika ia berlaku ke atas rakyat biasa (baca: bukan aktivis) yang sudah tentu mudah terpengaruh dengan laporan dan liputan khas media massa.
Namun, malang sekali jika semua mata, kaki, tangan, telinga, mulut dan kekuatan kita yang bangga mengaku sebagai aktivis kemanusiaan juga terlalu mudah dipesongkan perhatiannya.
Peperangan di Aceh ini sengaja dibuat oleh pemerintah Indonesia atas kepentingan-kepentingan tertentu. Ketika tentera mula mengarahkan muncung senjata ke Aceh, di Jakarta pemimpin dan perwakilan parti-parti yang memerintah juga sedang sibuk berperang. Mereka saling lobi-melobi untuk memastikan calon presiden (Capres) parti masing-masing mampu menang.
Ini juga adalah perang yang tujuannya sama, untuk memastikan kemenangan kekuasaan di tangan mereka. Sementalahan pula, pilihanraya umum (pemilu) juga akan diadakan seawal tahun hadapan. Kempen pemilu sudahpun bermula di sini dan perang ini adalah sebahagian daripada kempen yang paling berkesan.
Perang di Jakarta ternyata lebih besar (atau sama besarnya) berbanding perang di Aceh. Dalam perang merebut kerusi presiden Indonesia melibatkan enam parti terbesar sedangkan di Aceh perang itu hanya melibatkan pihak tentera dan GAM.. Kedua-duanya tetap sahaja merugikan dan memangsai rakyat teramai.
Kembali kepada isu ISA yang sepatutnya menjadi agenda utama para aktivis kita ketika ini, saya mendapat makluman dari teman-teman dari Kuala Lumpur bahawa kempen itu telah ditenggelamkan oleh isu perang di Aceh.
Kempen Mansuhkan ISA hanya dijalankan oleh segelintir aktivis sahaja. Mungkin kempen membebaskan 6 tahanan politik di Kemunting sudah tidak penting lagi bagi aktivis kemanusiaan kita.
Mungkin juga, perlanggaran hak asasi di Aceh itu terlihat lebih sensasi berbanding hak 6 tahanan ISA di Malaysia yang juga terancam. Aktivis peringkat antarabangsa, gitu!
Sebagai aktivis sejati, kita seharusnya berupaya menaikkan isu ISA ini ke peringkat antarabangsa. Tempoh tahanan dua tahun ke atas enam tahanan politik yang akan berakhir pada awal bulan Jun ini sepatutnya turut diangkat supaya kerajaan juga sedar bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melanjutkan penahanan untuk dua tahun lagi.
Nyatakan selantang yang mampu kepada kerajaan Malaysia bahawa penggunaan ISA itu sama seperti perang di Iraq dan Aceh kerana kedua-duanya melanggar hak asasi manusia.
Ketika perang berlangsung di Aceh sekarang ini, harus disedari bahawa pemerintah kita juga akan mengambil kesempatan dan memanfaatkan kelemahan kita. Tumpuan perhatian kita yang teralih dari isu-isu dalam negeri ke Aceh akan merugikan kita nanti. Sebab itu kita menentang kedua-duanya.
Jika kita terlalu naif lalu melupai hakikat ini, selepas perang di Aceh itu berakhir nanti mungkin barulah kita akan mampu menyesalinya. Itupun setelah kita sendiri atau salah seorang dari
keluarga kita menjadi mangsa ISA.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.