Dakwaan pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Dr Adham Baba bahawa "usaha pergerakan Pemuda Umno untuk membebaskan majlis perwakilan pelajar di pusat pengajian tinggi daripada terus menjadi alat kepada gerakan yang menentang kerajaan, telah menampakkan kejayaannya", mengimplikasikan kesungguhan pergerakan itu untuk mengukuhkan kuasanya di pusat pengajian tinggi tempatan melalui majlis perwakilan pelajar.

Hujah sedemikian memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap suasana politik di pusat pengajian tinggi tempatan dan perakuan beliau terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik kampus yang dapat dilanjutkan ke tahap negara.

Sikap beliau yang terus terang menyatakan kewujudan "perwakilan pelajar yang anti-pentadbiran" dan "perwakilan yang menyokong kerajaan" juga amat jauh berbeza dengan sesetengah pihak yang masih berhujah tentang kekecualian politik kampus dan enggan menerima hakikatnya bahawa mahasiswa sememangnya mempunyai pendirian politiknya sendiri.

Hal ini kerana beliau dapat merasai angin globalisasi yang bertiup kencang sejak tahun-tahun kebelakangan ini, memerlukan generasi muda yang dapat berfikiran bebas dan matang, serta prihatin terhadap iklim politik negara dan antarabangsa.

Oleh itu, autonomi mahasiswa dalam menceburi arena politik sebagai satu usaha memantapkan lagi sistem demokrasi negara ini supaya dapat bersaing dengan negara lain di pentas dunia, menjadi semakin penting dan perlu.

Bagaimanapun, tindakan Pemuda Umno seperti yang dikatakan oleh Dr Adham sememangnya telah menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang mahasiswa daripada berpolitik dan berhubungan dengan parti politik sama sekali.

Namun, Pemuda Umno tetap memasuki kampus dengan membawa bersama pemimpin kerajaan melalui "program keluarga angkat" untuk mewujudkan peluang kepada mahasiswa melibatkan diri dalam arena poltik yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi partisipasi.

Prinsip Pemuda Umno ini haruslah dicontohi parti politik lain supaya negara kita bukan setakat mempunyai kemudahan terbaik tetapi mentaliti dunia ketiga, sepertimana yang digambarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Persoalannya, apakah pula hanya pergerakan tersebut dapat memasuki kampus? Dapatkah pergerakan lain turut memasuki kampus untuk memperkayakan kepelbagaian?

Apakah pilihan yang ditawarkan kepada mahasiswa dalam suasana kampus yang sepatutnya bebas dan terbuka? Siapakah yang menentukan pilihan-pilihan untuk ditawarkan kepada mahasiswa? Untuk kepentingan siapakah pilihan-pilihan sebegitu ditawarkan?

Jelasnya, pergerakan itu sentiasa berusaha membebaskan majlis perwakilan pelajar daripada terus menjadi alat kepada gerakan yang menentang kerajaan dan menghalang gerakan luar yang sentiasa menghasut mahasiswa menentang kerajaan sehingga terlupa tanggungjawab sebenar mereka di universiti.

Adakah ini mengimplikasikan mahasiswa saban hari tidak berupaya menilai secara kritis dan rasional serta membuat keputusan secara bebas sehingga perlu bergantung kepada kuasa luar untuk "dibebaskan"? Apakah pula faktor asas yang melumpuhkan keupayaan dan kebolehan mahasiswa untuk berfikiran bebas dan matang?

Persoalan asasnya, apakah kebebasan yang sebenarnya diperlukan oleh mahasiswa dan apakah tanggungjawab sebenar itu?

Kebebasan minda adalah kebebasan sebenar yang amat diperlukan oleh mahasiswa dan untuk mencapai matlamat ini. AUKU yang menghakis pemikiran dan melumpuhkan tindakan mahasiswa yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara haruslah dihapuskan sama sekali!

Kebebasan berpolitik ataupun mempropaganda dalam kampus yang hanya dinikmati kuasa pentadbir dan bukan kuasa pembangkang memaparkan dwi-standard yang digunakan oleh kuasa pentadbir untuk melenyapkan suara musuhnya dan seterusnya mempermainkan kebijaksanaan mahasiswa.

Padahal, penyertaan mahasiswa dalam politik baik peringkat kampus mahupun negara harus digalakkan di atas landasan kepelbagaian pilihan dan kebebasan memilih dan bukan hanya memisahkan mereka daripada suara pembangkang semata-matanya untuk kepentingan kuasa politik sendiri.

Sesungguhnya, tindakan "membebaskan" majlis perwakilan pelajar dan "menghalang" gerakan luar yang membangkang adalah konservatif dan naif kerana mahasiswa yang merupakan tunas pembangunan, tidak akan dapat membesar dengan sihat dan kuat tanpa elemen-elemen semulajadi yang sepatutnya wujud - yakni suara menyokong dan suara membangkang yang saling mengimbangi dalam pembangunan fizikal dan mental negara.

Realitinya, persekitaran yang tidak bebas ini hanya akan menyesakkan nafas tunas-tunas ini mahupun mencacatkan pertumbuhannya!