Merujuk kepada surat yang dipersetujui bersama oleh lapan orang aktivis dan penulis tentang isu cakera padat video (VCD) lucah, saya berasa kurang selesa dan terpanggil untuk turut membahaskan sikap yang diketengahkan mereka.

Saya berpendapat VCD yang dimaksudkan oleh mereka sudah tidak menjadi hak peribadi kerana telah tersebar luas dalam masyarakat. Walau pelakon tersebut dan pasangannya tidak berniat mengetengahkan rakaman itu kepada umum, tetapi mereka harus sedar sesuatu yang terakam, sama ada dalam bentuk tulisan atau visual, mempunyai risiko terdedah kepada awam.

Sekarang ia sudah terdedah kepada masyarakat, maka ia seharusnya diadili dari sudut undang-undang budaya, sosial atau negara. Menurut laporan media, pasangan ini belum berkahwin semasa melakukan hubungan seks itu, jadi mengapa kita ingin mempertahankan kesilapan yang dilakukan? Saya tidak faham.

Benar, seperti hujah kumpulan penulis dan aktivis ini, ajaran agama melarang kita mendedahkan aib orang. Tetapi rakaman ini telah beredar di pasaran, bukan kehendak kita. Maka, implikasi sosial VCD ini khususnya amalan seks sebelum nikah tidak wajar kita pandang ringan dan maafkan. Pasangan ini jelas melakukan kesilapan.

Sekali imbas, nampak seperti benar, kegiatan di bilik tidur pasangan tersebut tidak kena mengena langsung dengan aktiviti seni aktres terbabit. Tetapi pelakon ini dikenali ramai. Jika dia dibenarkan berlakon dan menjadi personaliti popular, amalan buruknya ini ditakuti menjadi contoh kepada orang ramai, khususnya di kalangan peminatnya. Jadi, bagi saya, layaklah dia dihalang berlakon mulai sekarang.

Cuba bayangkan, bagaimana tanggapan kepada generasi muda apabila seseorang yang tidak bermoral seperti itu menjadi popular. Tidakkah ini bermakna amalan itu mendapat sokongan besar daripada masyarakat? Kebimbangan saya, golongan muda akan beranggapan tidak salah untuk berkelakuan sumbang seumpama aktres wanita itu.

Jika gejala ini terus berkembang, orang yang terlibat terus menjadi pujaan ramai, apakah bentuk masyarakat yang ingin kita lahirkan?

Jika soal cari makan dijadikan alasan, sudah tentu bukan lakonan sahaja yang boleh memberikan pendapatan di Malaysia. Penjual goreng pisang lebih mewah berbanding dunia lakonan! Manusia tidak dilahirkan dengan satu bakat. Alah bisa, tegal biasa, sesuatu bidang jika dilatih akan kita kuasai. Oleh itu, saya nasihatkan aktres itu bertukar bidang kerjaya.

Langkah RTM itu, bagi saya, sebenarnya wajar.