Jangan abaikan perbuatan keji pencuri VCD lucah
Saya hairan sungguh dengan sikap Husna Sidek (2 Jun) yang berpendapat pihak yang paling bersalah dalam kes VCD lucah ialah pasangan pelakon dan suaminya. Menurut Husna: "Mereka [pasangan tersebut] harus sedar sesuatu yang terakam, sama ada dalam bentuk tulisan atau visual, mempunyai risiko terdedah kepada awam."
Daripada hujah ini, Husna merumus sedemikian: "Pasangan ini jelas melakukan kesilapan."
Kenapa tidak dititikberatkan pula kesilapan manusia yang mencuri dan menjual VCD tersebut? Pada pandangan saya, sikap Husna hanya memberi peluang kepada pihak yang sanggup mencuri dan menjual VCD lucah untuk meneruskan aktiviti kejinya.
Oleh kerana perbuatan mencuri pula diketengahkan, ia akan menjadi insentif kepada individu lain untuk mencuri dan menjual hak dan maruah orang lain, semata-mata untuk wang ringgit. Senang sungguh untuk mencuri dan menjual maruah orang lain, kerana yang akan dipersalahkan akhirnya ialah si mangsa, bukan si pencuri! Adakah maruah manusia begitu murah sekali dalam masyarakat kita?
Pada pendapat saya, pihak yang paling bersalah ialah pencuri yang menjual VCD tersebut. Kalau manusia seperti ini dibenarkan terus berbuat sedemikan (kerana kita terlalu sibuk dengan si mangsa suami dan isteri), masyarakat kita akhirnya akan dilumpuhkan kerana maruah manusia langsung tidak bernilai lagi.
Kita mesti berusaha menentang perbuatan dan tindakan yang mencerobohi hak peribadi dan maruah ahli-ahli masyarakat kita. Musuh terbesar kita dalam kes-kes sebegini ialah manusia seperti si pencuri tersebut.

