Berkongsi keresahan Fathi Aris Omar
Membaca tulisan terbaru ( Ada apa dengan Reformasi? ) Fathi Aris Omar, maka saya dapat saya merasakan resah hati seorang yang pernah bergelumang dengan reformasi, akan nasib dan masa depan sesuatu yang dinamakan perjuangan.
Barangkali Fathi cukup sedar apa yang beliau dan teman-teman lakukan selama ini adalah, mencipta dan meraikan satu kepalsuan. Wujudkan gerakan reformasi? Yang kita tahu selepas 2 September 1998 rakyat bangkit kerana perasaan marah apabila Anwar Ibrahim dipecat.
Kebangkitan secara tiba-tiba itu, bukanlah gerakan tetapi ledakan. Tidak tersusun dan tidak pernah diisi secara sistematik. Cerdik pandai reformasi kemudiannya mencipta slogan demi slogan yang bertujuan untuk menarik dan mempengaruhi rakyat, retorik kaum tertindas.
Tetapi slogan demi slogan - seperti ke arah Malaysia yang lebih adil, lawan tetap lawan, gerakan rakyat menentang kezaliman - hanyalah slogan yang dijeritkan, dari segi pengisian dan hala tuju gerakan ia terasing dan semakin hilang arah.
Lebih malang lagi apabila pendukung reformasi itu sendiri terperangkap dengan aksi massa. Tanpa pengisian dan matlamat jelas, para penyokong dan simpatisan diminta untuk bersama menjayakan sebuah gerakan rakyat - berdemonstrasi di atas berbagai nama, untuk berbagai tujuan, tetapi lupa pula mengisi berbagai ruang.
Saya bersetuju dengan Fathi, jika dibiarkan begini, maka reformasi juga mengalami kelumpuhan dengan sendirinya. Suasana selepas lima tahun reformasi tentu berbeza - pasang surut reformasi perlu diperhatikan semula.
Fathi barangkali boleh mencadangkan beberapa bentuk tindakan segera yang perlu diambil oleh penggiat reformasi, supaya ia tidak lumpuh atau melumpuhkan diri.

