Tiada apa yang memeranjatkan dalam ucapan Dr Mahathir Mohammad semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno Ke-54 baru-baru ini. Malah, beliau boleh diibaratkan mendendangkan lagu lama yang digubah semula rentaknya.

Sesuai dengan ucapan perasmian terakhirnya sebagai presiden Umno, alunan rentaknya sebak dan sedih. Namun, intipatinya tiada yang baru. Skripnya berkisar mengenai isu ancaman - ancaman dalam Umno, ancaman dalam negara dan ancaman kuasa asing.

Buat sekian kalinya Dr Mahathir mewar-warkan betapa negara sedang diancam pengaruh dan penjajahan Barat. Malah, demokrasi dan hak asasi manusia pun dicemuh sebagai agenda barat untuk menguasai negara.

Anehnya, di waktu yang sama beliau menambatkan Ringgit dengan Dolar Amerika dan menggiatkan pelbagai program dan insentif bagi menarik pelabur asing (barat), terutamanya syarikat multi-nasional ke dalam negara.

Retorik sebegini tentu sekali memberikan isyarat yang mengelirukan. Apakah mungkin 'politics of contradiction' ini merupakan ramuan istimewa Dr Mahathir yang telah membuatnya mampu bertahan sebagai pemimpin nombor wahid selama 22 tahun?

Sudah menjadi tradisi pada setiap perhimpunan agung Umno untuk digunakan secara arena membelasah PAS dan menempelak parti pembangkang. Kali ini, PAS dituduh sebagai menyalahtafsir agama dan menyebar ajaran Islam yang menyeleweng, termasuk kali ini mengaitkan isu sekolah agama rakyat.

Saya kira Dr Mahathir sedar bahawa sokongan orang Melayu, yang rata-ratanya orang Islam, terhadap Umno sudah terhakis. Hakikatnya, Umno hanya mampu meraih 45 peratus undi popular orang Melayu dalam pilihanraya umum 1999.

Selain menampilkan Umno sebagai parti yang lebih menepati ajaran Islam, modal lain ialah untuk melemparkan tohmahan sebegini terhadap PAS. Namun, saya yakin, jajaran politik orang Melayu tidak akan banyak berubah dalam pilihanraya umum akan datang.

Rakyat sudah sedar betapa Umno telah menjadi batu loncatan untuk meraih jawatan, memegang tampuk kuasa, mengumpul harta dan memewahkan diri dan kroni. Tak banyak lagi semangat perjuangan Dato' Onn Jaafar yang terkesan dalam Umno kini.

Bayangkan Almarhum Dato'Onn hanya berbaki RM300 dalam simpanan beliau ketika meninggal dunia! Kemelut ini sebenarnya disedari Dr Mahathir sendiri. Masakan tidak, kegusaran utama beliau ketika menyentuh semasa kemuncak ucapan tersebut, ialah ancaman dalam Umno sendiri perebutan kuasa, pentingkan diri, mengkhianati parti dan sabotaj!

Nah, kekecewaan rakyat terhadap Umno telah terjawab dengan sendirinya. Umno kini dibelenggu oleh budaya politik amoral politik yang tidak berteraskan moral. Pemimpin Umno tidak lagi dilihat sebagai benteng kepada prinsip dan pelindung kepada nilai-nilai yang unggul.

Terlalu ramai pemimpin Umno kini yang berkepentingan menjadikan pangkat, kuasa, harta dan kemewahan sebagai matlamat. Selagi budaya ini menjajahi Umno, selagi itulah perebutan akan terus berlaku. Belenggu dan penyakit ini sudah parah. Rumusannya mudah pinggirkan Umno/Barisan Nasional (BN) dan undi Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya akan datang!