Kembalikanlah kepercayaan terhadap PDRM
Saya bukan menyokong sepenuhnya terhadap tindakan Polis diRaja Malaysia terutama yang berhubungan dengan tindakan provokasi polis terhadap penunjuk perasaan yang hanya mahu melaksanakan hak mereka saperti yang tercatat didalam Perlembagaan Malaysia dan tangkapan sewenangnya dibawah Akta Keselmatan Dalam Negeri.
Akibatnya PDRM telah dibelasah hebat oleh ramai penulis penulis di malaysiakini . Puncanya hanyalah dari kes Canny Ong .Tetapi didalam kes ini polis telah menyelesaikan penyiasatannya dengan cekap dan cepat sehingga tertangkapnya seorang suspek . Bahkan suspek tersebut telahpun di hadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh dan merogol .
Dipersoalkan pula kelemahan-kelamahan polis menjamin keselamatan. Tidak ada pasukan polis didalam dunia ini bahkan dari negara negara maju sekalipun yang boleh menjamin 100 peratus.
Pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama. Jika masyarakat tidak mahu ambil endah tentang nasihat polis yang sering dilakukan dengan persatuan penduduk dan yang lain perjumpaan, maka agak sukar untuk membendung jenayah sepenuhnya. Bahkan agak sukar untuk mendapatkan kehadiran di perjumpaan sedemikian.
Pasukan polis hanya boleh memberikan ' general security coverage '. Pihak pusat membeli-belah perlulah bertanggungjawab menyediakan pengawal keselamatan yang mencukupi, bukan sahaja bertujuan mengaut keuntungan.
Itu adalah tanggungjawab mereka. Tetapi pada hakikat sebenarnya, pihak swasta memberikan peruntukan keselamatan yang terlalu kecil terhadap keselamatan dan menganggapnya sebagai prioriti yang paling bawah.
Saya menyokong pendapat Abakjr bahawa pasukan polis kita adalah tidak sama dengan pasukan-pasukan polis di US ataupun UK. Pertamanya, PDRM adalah berbentuk polis federal manakala di US dan UK berbentuk county.
Setiap county mempunyai pasukan polisnya dan tugasnya hanyalah policing sahaja. Bermakna mereka tidak mengambil tanggungjawab tugas menangkap peniaga VCD ( tanggungjawab penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri), tiada menangkap pendatang haram (tugas Jabatan Imigeresen), tiada meronda di laut ( tanggungjawab Pasukan Coast Guard ), tiada mengawal sempadan saperti Pasukan Gerakan Am /Polis Hutan), tiada bertanggungjawab terhadap perisikan (tanggungjawab FBI ataupun CIA ) dan banyak lagi tugas-tugas lain jika mahu disenaraikan ).
Jumlah yang besar keanggotaan PDRM tidak adil untuk dibandingkan dengan jumlah penduduk negara ini seperti di negara-negara lain .
Adalah salah menganggap anggota PDRM mempunyai kelulusan pendidikan yang kurang dari SRP, bahkan sepengetahuan saya majoriti mereka kini sekurang-kurang mempunyai SPM atau lebih daripada itu.
Masyarakat jangan terkejut jika ada diantara mereka telah mempunyai diploma dan ijazah yang diperolehi semasa bekerja. Mereka masih kekal berkhidmat dengan pasukan kerana cintakan pasukan dan mungkin pada masa ini tiada pekerjaan lain .
Tetapi adakah penulis-penulis yang menghentam dengan hebat PDRM di malaysiakini mahu meninggalkan pekerjaan mereka dan memasuki PDRM dengan gaji kacang putih? Jika mereka dihentam sehebat ini mungkin mereka juga akan meninggalkan pasukan polis.
Memang tidak dinafikan ada diantara anggota PDRM yang ibarat buah busuk. Kerajaan dan masyarakat patut memikirkan bagaimana mengatasi masalah sebilangan kecil ini.
Anggapan sesetengah masyarakat bahawa PDRM bertindak hanya untuk mengekal pemerintah BN. Mungkin ada benarnya. Tetapi itu bukanlah kehendak mereka. Mereka hanya menjalankan arahan saperti slogan 'Sedia Berkhdimat', walaupun mungkin sebahagian besar daripada mereka tidak menyetujuinya .
Saya bersyukur telah menjalani segalanya dan sebagai pesara, hanya berharap dan berdoa PDRM dapat kembali kapada kegemilangannhya yang lalu.
Ianya memerlukan seorang ketua yang berani dan komited untuk membetulkan segala kepincangan yang ada, bukan sahaja untuk memuaskan political masters sahaja .Kembalikanlah kepercayaan masyarakat baik mereka itu menyokong BN mahupun tidak .


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.