Merujuk kepada surat tulisan Muhammad Hassan Muhammad Hasbi yang disiarkan oleh malaysiakini saya ingin memberikan beberapa hujah balas.

Pertamanya, dari pengamatan saya, hujah terbesar Muhammad Hasbi menolak Negara Islam PAS adalah kerana PAS mengecualikan undang-undang Hudud, Qisas dan Takzir kepada orang bukan Islam.

Muhammad Hasbi mendakwa bahawa ini adalah satu ketidakadilan dan ianya bertentengan dengan Islam.

Soalnya sekarang, bagaimana dengan sistem undang-undang yang ada sekarang di Malaysia? Hakikatnya, di Malaysia sekarang ini sudah pun wujud dua undang-undang yang berlainan.

Ini dibuktikan dengan wujudnya DUA jenis mahkamah,yakni Mahkamah sivil dan jenayah serta mahkamah Syariah. Dan setakat yang kita lihat, tiada masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Dan sebagai contoh, apabila seorang bukan Islam dan seorang Islam ditangkap berkhalwat, hanya si pengkhalwat Islam sahaja yang dihukum di Mahkamah Syariah dan yang bukan Islam tidak didakwa langsung.

Bukankah pengecualian bukan Islam dari undang-undang Syariah adalah salah satu bentuk keadilan dalam Islam? Mereka yang tidak beriman dengan hukum Islam tidak dihukum dengannya.

Sekiranya bukan Islam dihukum di bawah hukum Islam, bukankah ianya satu kezaliman ke atas mereka kerana kita memaksa pengharaman perkara-perkara yang tidak diharamkan oleh agama mereka?.

Hujah Muhammad Hasbi yang menuduh PAS ingin kembali ke zaman medival juga harus di sanggah kerana berdasarkan kepada hujah itu, maka Islam itu sendiri harus ditolak memandangkan Islam adalah agama yang juga muncul di zaman medieval (kuno dan lama)?

Hakikatnya ialah negara Islam telah wujud sejak 1400 tahun dahulu.

Usaha Muhammad Hasbi menyamakan PAS dengan institusi gereja di zaman "medieval" juga adalah salah, memandangkan PAS tidak pernah meletakkan ulama di status "bayangan tuhan" seperti yang dilakukan di zaman medieval itu. Dan PAS tidak pernah mengatakan bahwa para ulama adalah maksum.

Ketidakfahaman Muhammad Hasbi tentang negara Islam adalah sangat tertonjol apabila beliau menyamakan konsep negara Islam dengan negara Fasis. Tahukah Muhammad Hasbi, Islam bukan sekadar agama tetapi adalah sebuah sistem politik.

V Fitzgerald dalam bukunya "The Muhammaden" telah menyatakan bahwa Islam adalah bukan sekadar agama tetapi sebuah sistem politik. Semua sarjana Islam atau bukan Islam mengakui bahwa Islam adalah sebuah agama yang mempunyai sistem politik yang tersendiri.

Tuduhan Muhammad Hasbi terhadap negara Islam sebagai negara fasis adalah satu bukti kejahilan yang ketara beliau terhadapa konsep negara Islam.