SAYA ingin menarik perhatian tentang rungutan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berhubung kekurangan jumlah pelajar perubatan kaum India di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) untuk tahun ini.

Saya kurang arif apakah tujuan beliau menghebohkan isu tersebut? Sebelum ini pun, dalam sistem kuota, beliau juga membuat heboh tentang kurangnya jumlah pelajar India di IPTA.

Setelah sistem meritokrasi diperkenalkan, nampaknya beliau terus tidak puas hati. Persoalannya ialah apakah yang beliau inginkan? Kalau dilihat secara objektif, jumlah mereka di IPTA adalah wajar, berdasarkan peratusan bilangan pelajar keturunan India di negara ini.

Bilangan itu tidak termasuk pelajar keturunan India di institut pendidikan tinggi swasta (IPTA). Sebagai contoh di Melaka Manipal Medical College dan AIMST, boleh dikatakan 80 hingga 90 peratus pelajar perubatan di situ keturunan India dan bilangannya bukan sedikit, tetapi dalam angka ratusan.

Mungkin ramai tidak mengetahui iaitu jumlah pelajar keturunan India yang mengikut jurusan perubatan di Rusia, Ukraine, India, Filipina dan Pakistan adalah dalam lingkungan 80 hingga 90 peratus daripada jumlah pelajar Malaysia di sana.

Pelajar perubatan keturunan India di Rusia, Indonesia serta Ukraine adalah terdiri daripada mereka yang tidak berjaya ke IPTA dan IPTS tempatan. Boleh dikatakan ramai daripada mereka mempunyai berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sebilangan daripada mereka dibiayai oleh keluarga sendiri, tetapi terdapat juga yang ditaja oleh syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan parti politik pimpinan Datuk Seri Samy Vellu.

Yang tidak menyenangkan ialah mereka ini memasuki kolej yang tidak diiktiraf dan menggunakan lobi parti politik India untuk mendapat pengiktirafan kerajaan setelah tamat pengajian masing-masing.

Kesimpulannya, saya berharap Datuk Seri Samy Vellu memandang secara saksama taburan pegawai-pegawai perubatan India di negara kita sebelum membuat sebarang komen yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang penduduk lain-lain kaum.

Jangan hanya melihat satu pokok, tetapi melupai hutan sekeliling.