Parti politik Islam takutkan masyarakat dengan istilah sekularisme
Saya merujuk kepada berita malaysiakini yang memetik bekas tahanan ISA, Hishamuddin Rais yang menyeru supaya dibangunkan sebuah sistem pemerintahan yang sekular dan demokratik untuk negara ini.
Saya berpandangan sudah terlalu lama masyarakat Melayu-Islam khususnya, ditakut-takutkan dengan momok perkataan sekular ini. Seringkali perkataan sekular ini dianggap sebagai suatu perkataan yang terlarang.
Percaya kepada sistem pemerintahan sekular adalah sama dengan menolak agama Islam - inilah yang sering dimomok-momokkan oleh parti politik terutamanya PAS dan juga badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lainnya. Seringkali perkataan sekular dilaungkan di pentas ceramah politik PAS sebagai sesuatu yang "najis dan taboo".
Tidak terkecuali penceramah dari parti Keadilan yang turut sama terlibat dalam menjerumuskan perkataan sekular ini sebagai satu perkataan dan konsep yang terlarang dan berdosa untuk masyarakat Melayu-Islam.
Justeru itu, tidak hairanlah jika sekiranya hampir semua anggota masyarakat termasuk pemimpin politik dan NGO Melayu-Islam, takut dan kecut untuk membahaskan perkataan dan konsep sekular ini. Mereka takut dituduh tidak Islam. Mereka takut tidak popular. Mereka takut kehilangan kawasan yang mereka wakili.
Sehinggakan sebuah parti politik yang mempunyai latarbelakang sejarah kiri dan sekular, iaitu Parti
Rakyat Malaysia (PRM), sendiri takut untuk menggunakan perkataan sekular.
Ini jelas terbukti ketika parti itu membuat kenyataan tentang negara Islam beberapa bulan lalu di mana PRM menggunakan perkataan teokratik dan bukan sekular untuk menolak sebarang usaha penubuhan negara yang berasaskan kepada agama (negara teokrasi).
Ketakutan dan fobia terhadap perkataan dan konsep sekularisme ini tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana tidak adanya perdebatan dan wacana dalam masyarakat untuk membincangkan perkara ini. Tiadanya perdebatan dan wacana ini, berhubung rapat dengan sifat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang autokratik dan tidak demokratik.
Kerajaan BN dengan pelbagai sekatannya dalam menyempitkan wacana awam dan debat awam melalui akta-akta menindas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan sebagainya.
Semua ini telah menyebabkan masyarakat kita gagal untuk memperolehi kepelbagaian wacana, debat dan pandangan khususnya berhubung dengan konsep sekularisme ini.
Kerana tiada ruang yang lebih demokratiklah, menyebabkan masyarakat kita, khususnya orang
Melayu-Islam hanya terdedah kepada dua jalur pandangan sahaja - satu Umno dan satu lagi PAS.
Kedua-duanya, Umno dan PAS adalah sama-sama autokratik, sama-sama tidak demokratik.
Justeru itu seruan yang dilaungkan oleh Hishamuddin Rais itu merupakan suatu seruan yang memberi nafas baru dan segar kepada masyarakat kita bahawa jangan takut dengan perkataan sekular dan jangan kecut dengan konsep sekularisme.
Kepada mereka (khususnya orang Melayu-Islam) yang percaya kepada sistem pemerintahan sekular dan demokratik, buangkanlah rasa takut dan kecut kita ini dengan mula bercakap, berhujah dan menulis kepada umum tentang pandangan kita ini.
Percaya kepada sekularism bukan bermakna tidak percaya Tuhan. Menerima sistem sekularism tidak bermakna menolak agama Islam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.