Sistem meritokrasi didakwa berat sebelah
Syabas kepada saudara Sreedhara Naidu atas tulisannya bertajuk 'Jangan menghina pengorbanan ibu bapa kami' bagi menyangkal pendapat Pak Long berhubung kemasukan pelajar keturunan India ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Apa yang Pak Long harus faham ialah kaum India di negara ini tidak pernah menyoalkan hak istimewa orang Melayu. Apa yang kami bangkang ialah hak kami dirampas untuk melanjutkan pelajaran di IPTA atas nama sistem meritokrasi.
Isu yang diperdebatkan ialah sistem meritokrasi yang diheboh-hebohkan adalah berat sebelah dan tidak bermerit langsung.
Amalan menggunakan ujian yang berbeza dan tidak terbuka kepada semua rakyat negara ini, sebagai kayu pengukur kelayakan masuk ke IPTA adalah sungguh mengecewakan dan merupakan satu amalan yang bercanggah dengan falsafah pendidikan pada umumnya.
Tiada siapa yang menghalang kerajaan membantu pelajar yang tidak mampu tetapi berkelayakan melanjutkan pelajaran ke IPTA. Tetapi saya rasa, mereka yang berfikiran waras tidak akan menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan pelajar yang tidak menepati kelayakan, sebagai seorang profesional, lebih-lebih lagi menjadi seorang doktor.
Memang benar, kata Pak long, rata-ratanya terdapat ramai doktor keturunan India di negara ini. Tetapi itu bukanlah satu alasan untuk menafikan peluang seorang pelajar yang berkelayakan, melanjutkan pelajaran ke IPTA, khususnya dalam bidang perubatan.
Nampak gaya, Pak Longlah yang ghairah terpengaruh dengan sepohon pokok sehinggakan dia gagal melihat hutan di sekelilingnya.
Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan membuat reformasi terhadap sistem meritokrasi ini, sebelum ianya menjadi satu topik analisis kerana kegagalannya. Tepuk dada tanya selera, Pak Long.

