Saya tertarik membaca tulisan Yusri Nuqman mengenai isu rasuah di kalangan "ikan bilis dan ikan jerung". Adalah menjadi lumrah, pendedahan demi pendedahan dibuat di media massa mengenai kes rasuah - kecil dan besar.

Antara objektif utama pendedahan sedemikian adalah bersifat pendidikan - iaitu mengingatkan kita supaya menjauhkan rasuah bagi mengelak diaibkan oleh pihak media. Soal halal dan haram dari segi agama tidak timbul di sini kerana penerima rasuah lebih takut dimalukan di media daripada kesan-kesan lain.

Saya menyokong penuh langkah kerajaan menangani gejala rasuah dengan membanteras 'ikan bilis' kerana jika dibiarkan 'ikan bilis' ini lambat laun akan membesar menjadi jerung. Kesilapan kerajaan pada masa lalu tidak patut diulang kerana membiarkan 'ikan bilis' di masa lalu membesar menjadi jerung yang ganas ketika ini.

Sebagai rakyat yang cintakan negara, kita perlu menyokong usaha kerajaan sekarang. Jika ini berjaya, pemimpin kita pada masa depan, tidak perlu terlalu memperuntukkan banyak masa melindungi pemimpin rasuah yang dipilih sendiri oleh rakyat melalui pilihanraya umum dan pilihanraya parti.

Sebagai contoh, kejayaan menangani kes rasuah di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menjadi teladan kepada semua pegawai dan kakitangan MPAJ sendiri dan juga menjadi iktibar kepada badan kerajaan yang lain.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya menyanjung tinggi usaha-usaha murni Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang terus menjalankan amanah mereka tanpa takut dan pilih kasih. Mereka merancang dan bertindak mengikut kesesuaian keadaan, tanpa tunduk kepada pihak-pihak yang sentiasa membangkang apa saja yang dilakukan oleh BPR dan kerajaan.

Biarlah sejarah menilai usaha murni BPR dan kerajaan Malaysia.