Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Turki telah menghalang akses kepada aplikasi media sosial popular, Twitter, dalam satu tindakan mengarut yang hanya sesuai dengan pentadbiran berbentuk diktator dan bukannya sistem demokrasi sebagaimana yang diharapkan dunia terhadap Turki.

Tindakan sewenang-wenang dan menindas ini muncul hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan mengumumkan hasratnya untuk menghalang rangkaian media sosial, dalam suatu rapat umum di Bursa pada 20 Mac.

Menurut laporan berita, Erdogan dipetik sebagai berkata, “Kita akan menghapuskan Twitter. Saya tidak peduli apa pendapat masyarakat antarabangsa. Semua orang akan menyaksikan kekuasaan Republik Turki.”

DAP sesungguhnya percaya bahawa pengharaman sedemikian adalah tidak boleh diterima dan merupakan suatu pelanggaran terhadap hak bersuara dan berpendapat.

Kritikan umum adalah sebahagian daripada demokrasi, dan sewajarnya diberikan ruang selagi mana ia bersifat aman.

Prinsip asas kebebasan ini tidak boleh ‘dipenjarakan’ oleh mereka yang berkuasa memandangkan mereka boleh bertindak terhadap penipuan dengan melakukan saman fitnah.

Kerajaan Turki tidak perlu takut kepada aplikasi media sosial seperti Twitter. Hanya mereka yang takut akan kebenaran dan mahu menakut-nakutkan rakyat akan mengharamkan Twitter.

Seperti yang disebut Thomas Jefferson, “Apabila kerajaan takut kepada rakyat, wujudlah kebebasan; apabila rakyat takutkan kerajaan, wujudlah kezaliman.”

Oleh yang demikian, DAP secara tegas menyeru Turki untuk menghormati kebebasan bersuara dengan menarik balik pengharaman Twitter.

ADS