Perbincangan terbuka, apa salahnya?
Pembahagian kerusi untuk pilihanraya harus dibincang secara terbuka. Rakyat berhak menentukan siapa yang bertanding dan ini bukan satu hak istimewa parti politik. Ianya juga bukan hak muklak ataupun istimewa parti politik memilih kerusi mana mereka hendak bertanding.
Pembahagian kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri(DUN) antara parti-parti politik terutamanya parti pembangkang harus dibincangkan secara terbuka. Parti mana yang bertanding dalam pilihanraya yang akan datang sepatutnya ditentukan oleh rakyat sendiri, bukannya percaturan parti politik.
Secara umumnya, rakyat yang mahukan keadilan dan perubahan dalam politik tanahair ingin melihat satu lawan satu di antara BA serta pembangkang yang lain dengan BN. Tetapi mereka juga perlu sekurang-kurangnya diberitahu perkembangan dalam pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang supaya mereka dapat menyuarakan pandangan mereka.
Dalam sistem demokrasi, rakyat akan menjadi penentu dan bukannya individu yang berkepentingan dalam sesebuah parti.
Perbincangan terbuka, apakah salahnya? Jika semua perbincangan berjalan secara telus - atau dengan perkataan yang lain, tidak ada penyelewengan fakta - adakah perlu parti yang terlibat merasa risau tentang maklumat perbincangan tersebut diumumkan?
Parti yang terlibat dalam isu pembahagian kerusi ini seringkali melaung slogan ' justice, freedom, democracy, and good governance ' serta menuntut keterbukaan atau ' transparency ' dalam hal pertadbiran negara dari pihak pemerintah, oleh yang demikian mereka juga perlu memperlihatkan keterbukaan mereka dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat.
Tidak salah jika apa yang diberitakan dan disiarkan dalam malaysiakini adalah perkara yang benar-benar berlaku. Umumnya, rakyat tahu bahawa DAP adalah parti pembangkang Cina yang terulung dan mereka sudah tentu hendak bertanding kesemua kerusi dengan majoriti pengundi Cina.
Jadi, jika hakikat ini diumumkan, ia adalah tidak salah dan tidak juga bercanggah dengan perdirian DAP sendiri. Dengan menutup perbincangan ini, apakah DAP hanya melontar batu dan menyembunyi tangan?
DAP tidak perlu bersembunyi dibelakang tabir parti pelbagai kaum atau 'multiracial' hanya untuk memancing undi masyarakat bukan Cina. Sebaliknya mereka harus memperkotakan perdirian mereka sebagai parti pelbagai kaum dengan menampilkan rekod yang lebih daripada 30 tahun.
Mereka tidak seharusnya merasa diancam oleh sebuah parti pelbagai kaum yang baru berusia empat tahun. Bukankah Keadilan sebuah parti nyamuk dan parti Melayu seperti yang selalu didakwa mereka?
Pada pilihanraya yang lepas, pimpinan DAP Pulau Pinang pernah menyebut bahawa Keadilan adalah parti nyamuk berbanding dengan DAP yang mempunyai 'rekod perkhidmatan' lebih daripada 30 tahun.
Malah kebelakangan ini, DAP melalui media Cina selalu mendakwa bahawa Keadilan adalah parti Melayu. Akan tetapi, parti nyamuk yang berdasarkan pimpinan Melayu pula kini meminta kerusi dengan majoriti pengundi Cina daripada DAP. Apakah parti nyamuk dan parti Melayu ini telah berkembang maju sementara DAP pula masih berada ditakuk yang lama?
DAP tidak harus berasa terancam sekiranya dakwaan mereka selama ini adalah benar dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh DAP dalam pembahagian kerusi kali ini. Kekuatan DAP di Pulau Pinang jika ada harus diketengahkan, ini termasuk bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri yang mereka menangi pada pilihanraya 1995 dan 1999. Kekuatan ini boleh dijadikan ' yardstick ' untuk perbincangan.
Kerusi yang DAP menang pasti dikembalikan kepada mereka dan selainnya harus dibincang mengikut criteria kehadiran sokongan rakyat, jentera, serta bilangan ahli dalam kedua-dua parti. Jentera dan ahli dalam parti akan memainkan peranan yang penting dalam pilihanraya yang semakin memerlukan bantuan petugas dan kewangan.
Kita perlu belajar daripada pihak lawan; mereka menggunakan segala jentera samada kerajaan ataupun ahli parti untuk memenangi pilihanraya. MCA contohnya, selepas kekalahan teruk pada tahun 1990, telah mengambil langkah memperkemaskan jentera mereka di setiap kawasan yang mereka tandingi dan kebanyakan kawasan ini adalah kubu kuat DAP.
Dengan jentera yang mantap, rakyat dapat lihat bahawa tidak ada lagi kubu kuat DAP terutamanya di Pulau Pinang, sungguhpun kawasan tersebut mungkin dimenangi DAP selama beberapa penggal yang lalu.
Contoh yang paling baik ialah Parlimen Jelutong yang mana kawasan tersebut adalah kubu kuat Karpal Singh suatu ketika dahulu tetapi kini, kemungkinan beliau kalah sekali lagi adalah sangat tinggi. Begitu juga dengan kawasan Parlimen Bkt Bendera, di mana Pengerusi DAP Lim Kit Siang bertanding.
Ada ura-ura menyatakan bahawa kawasan tersebut tidak lagi selamat bagi Kit Siang dan beliau berkemungkinan akan melompat ke Parlimen Batu Gajah, Perak yang dianggap lebih selamat. Keadaan ini disebabkan bukan kerana tindakan parti lain tetapi ketiadaan ahli, jentera dan komitment DAP di kawasan tersebut.
Sebaik sebelum pilihanraya 1999, seorang pemimpin DAP yang berhasrat untuk bertanding di Parlimen Bayan Baru mendakwa bahawa beliau dan DAP mempunyai kekuatan jentera dengan 500 orang di kawasan tersebut.
Akan tetapi, setelah beliau dicalonkan dan pada hari penamaan calon, beliau hanya datang dengan seorang penyokong sahaja. Pencalonan beliau tidak lengkap kerana beliau hanya mempunyai seorang pencadang dan tidak ada penyokong untuk pencalonan beliau.
Jika tiada BA pada ketika itu, pencalonan pemimpin tersebut sudah tentu ditolak. Apa yang paling menyedihkan ialah calon DAP ini terpaksa memasang posternya sendiri pada jauh lewat malam. Akhirnya, beliau tewas dengan majoriti 9481 undi di kawasan yang pernah dimenangi oleh Ahmad Nor dari DAP juga.
Ini bukan hanya satu contoh ekslusif sahaja, tetapi ia berlaku dikebanyakan kawasan yang ditandingi oleh DAP baik di kawasan majoriti Cina ataupun sebaliknya. Oleh yang demikian, ia mesti dijadikan satu teladan.
Adalah penting bagi parti politik yang terlibat dalam pembahagian kerusi supaya bertindak secara rasional dan sensible demi masa depan rakyat, dan pembahagian kerusi harus berpandukan kepada sokongan Rakyat serta kekuatan jentera parti dalam sesebuah kawasan pilihanraya.
Tidak gunanya jikalau kita bertanding semua kerusi dan setiap kali hanya menang satu sahaja. Ia sudah tentu tidak akan membantu aspirasi rakyat untuk melihat perwakilan dalam DUN ataupun Parlimen yang sama rata antara pembangkang dan BN.

