Pemimpin mesra rakyat bila parlimen dibubarkan
Ada kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan membuat kejutan dengan mengumumkan tarikh pilihanraya tidak lama lagi.
Empat tahun lalu, pembubaran parlimen diumumkan tatkala ahli-ahli Yang Berhormat sedang bersidang di institusi tertinggi negara ini. Dari segi dasarnya, merahsiakan tarikh pilihanraya dan seterusnya membuat kejutan bukanlah ' gentleman ' tetapi ia jelas menguntungkan parti pemerintah.
Ini adalah kerana parti pemerintah sudah bersedia menghadapi pilihanraya, manakala parti yang menentangnya pula terpinga-pinga kerana tidak begitu bersedia untuk bertarung.
Bagaimanapun, kita semua tahu bahawa banyak petunjuk bahawa pilihanraya akan diadakan tak lama lagi. Selain penurapan jalan-jalan berlubang dan pemberian baja subsidi, kita juga selalu disogokkan dengan acara 'Pemimpin Bersama Rakyat'.
Memang menarik bunyinya, yang membawa maksud pemimpin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat jelata, terutamanya dengan mereka di kampung-kampung pedalaman yang rata-rata hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
Maka apabila dihebahkan bahawa mana-mana menteri atau wakil rakyat yang selama ini asing dari pandangan orang kampung pedalaman bahawa pemimpin akan bersama-sama mereka, maka berbondong-bondonglah mereka akan turun ke padang untuk melihat wajah pemimpin 'kesayangan' mereka itu.
Ramai juga yang tidak kenal rupa pemimpin itu atau sekadar melihat pada kaca televisyen sahaja, tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya dapatlah juga mereka merasa daging sembelihan atau kain pelikat cap gajah jika hadir sama.
Pemimpin pun bukan main lagi. Bila sudah sampai ke kampung pedalaman itu, bermacamlah janji ditabur. Nak bagi jambatan barulah, jalan barulah, makmal komputerlah, dan seribu satu macam lagi asalkan tangan-tangan kasar petani atau penoreh getah itu akan memangkah calon parti pemerintah.
Kehadiran pemimpin besar di kawasan pedalaman memang sedikit sebanyak menghiburkan, terutamanya bagi mereka yang kekurangan aktiviti harian selain membanting tulang empat kerat mencari rezeki.
Selepas janji ditabur, pemimpin pun balik ke kota. Kalau di kampung mereka sanggup berbasikal (seperti Pak Lah di Permatang Pauh baru-baru ini), di kota mereka tersandar di kerusi empok kereta besar.
Berbeza dengan di kampung, jalan-jalan di kota sesak dengan kenderaan. Bukan sekadar sesak, tetapi amat menyesakkan. Hatta lebuhraya menuju ke Putrajaya pun saban hari sesak di waktu pagi dan petang. Tanyalah mereka yang kerja di bandar kebanggaan Dr Mahathir itu.
Sebijak-bijak Dr Mahathir membina sebuah bandar pentadbiran serba canggih sebesar Putrajaya dan Cyberjaya, beliau alpa dengan keperluan kepada pengangkutan awam. Kesilapan pembangunan di Kuala Lumpur terus diulangi di Putrajaya, malah lebih teruk kerana tanpa kenderaan sendiri, sesiapa sahaja akan 'patah kaki' di bandar serba mahal ini.
Tetapi kesesakan jalanraya bukanlah masalah bagi pemimpin yang sentiasa bersama rakyat. Sesak bagaimanapun, hatta apabila kenderaan tidak boleh bergerak langsung untuk berbatu-batu jauhnya, pemimpin besar tidak ada masalah. Dengan polis pengiring yang mendahului kenderaan pemimpin, rakyat jelata akan dipaksa bergasak-gasak ke tepi jalan bagi membuka ruang untuk pemimpin lalu.
Ini mungkin ada persamaan dengan pemimpin zaman feudal dulu kala di mana pemimpin diusung di atas tandu melalui denai-denai yang jika dipijak rakyat jelata penuh dengan onak dan duri.
Sudahlah begitu, melintasi tujuh atau lapan plaza toll juga bukanlah masalah bagi pemimpin yang 'mesra rakyat' ini. Bagi perjalanan sehala 45 minit dari Kajang ke Bandar Sri Damansara, rakyat marhaen terpaksa menempuh enam (saya ulangi, enam) plaza tol, dan pastinya membebankan rakyat yang terpaksa beratur dan membayarnya.
Tetapi pemimpin selalu merasakan ini bukan masalah, malah menyatakan kadar tol di Malaysia adalah "yang terendah di rantau ini" kerana mereka tidak perlu membayarnya. Yang membayar tol ialah cikgu sekolah, tukang kebun, polis pencen, penternak burung puyuh, penggiat seni dan rakyat jelata yang tiada pangkat Datuk atau Tan Sri.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin parti pemerintah akan sedar dari lamunan cuma bila parlimen dibubarkan. Lihatlah di akhbar, presiden parti pun sanggup turun ke pasar (yang busuk dan menjijikkan tatkala bergelar YB) dan makan tosei atau roti canai di gerai yang mungkin meloyakan pada hari-hari bergelar YB. Tanyalah bekas presiden MCA Datu Seri Dr Ling Liong Sik, kerana beliau pernah makan tosei di Pasar Sungai Besi bagi meraih undi ketika berkempen di situ empat tahun lalu.
Bila disuruh wartawan jadi tukang gunting pun di kedai buruk tepi jalan pun, pemimpin yang selama ini cuma mengenal salon lima bintang pun, tidak berfikir panjang untuk berbuat gimik tersebut. Agaknya, kalau diminta wartawan atau jurugambar agar berlagak jadi penggilap kasut pun, mungkin ada yang sanggup demi memastikan kemenangan pilihanraya.
Mesej yang cuba ditonjolkan cuma satu, iaitu pemimpin sentiasa bersama rakyat jelata. 'Kunun'nya, mereka berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tetapi sama ada benarkah itu hakikatnya, tepuklah dada tanyalah selera.
Yang pasti, generasi hari ini sudah celik mata, mungkin berkat dari didikan di Sekolah Kebangsaan kerajaan Barisan Nasional sendiri.

