Saya baru kembali dari lawatan singkat ke Kuala Terengganu - hampir tujuh tahun selepas lawatan pertama saya ke negeri itu pada 1996. Apa yang menarik perhatian saya ialah perbandingan yang dapat dibuat di antara kerajaan dulu dan kini - Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Saya amat tertarik untuk melihat sendiri sejauhmanakah kemunduran Terengganu di bawah pemerintahan PAS, seperti gambaran dalam media tempatan dan cerita golongan yang tidak kepentingan politik.

Dulu, kerajaan Terengganu adalah antara yang terkaya di Malaysia. Walaupun begitu, kekayaan ketika itu hanya dapat digambarkan dalam bentuk pendapatan "royalti" petroleum sahaja. Kerajaan pada masa itu gagal melaburkan pendapatannya dengan sebaik mungkin.

Sepatutnya, wang itu dilaburkan dalam syarikat-syarikat berdaya maju bagi menghasilkan pulangan berterusan, tahun demi tahun. Sebaliknya, pelaburan dibuat dalam Perwaja, Pelangi Air, dan lain-lain pelaburan kontroversi yang mengundang tambahan pelaburan dari semasa ke semasa bagi menampung kerugian operasi yang dialami. Rakyat terus miskin, peluang ekonomi terlalu terbatas di negeri sendiri, dan nilai hidup rakyat tidak terbela.

Sebagai satu "mercutanda" kegagalan rakyat ketika itu ialah kewujudan tol di sebuah jambatan di bandar Kuala Terengganu. Apakah kerajaan ketika itu terlalu terdesak hingga terpaksa "mendera" nelayan, peniaga Pasar Payang, pengusaha keropok dan sebagainya untuk menampung pembayaran kos pembinaan jambatan?

Hanya sebuah jambatan sahaja di Malaysia yang layak dikenakan tol kerana ia dibina menyeberangi laut bagi menghubungkan Seberang Perai ke Pulau Pinang.

Hasil perbualan saya dengan masyarakat Terengganu, kesimpulannya ialah sukar bagi BN melalui Gelombang Birunya (dikenali sebagai Gelombang Haru Biru di kalangan masyarakat tempatan), untuk merampas semula negeri itu. Rakyat kecewa dengan janji-janji kosong Umno terutamanya.

Pengagihan "wang ehsan" yang dibuat di atas kertasnya bertujuan membawa pembangunan negeri melalui agensi-agensi Persekutuan, gagal sama sekali. Wang berkenaan bukanlah menjadi rahsia lagi kepada masyarakat tempatan sebagai "wang politik" atau "rasuah politik" bagi membeli undi untuk BN. Satu organisasi yang terpaksa melakukan kerja kotor ini tak lain dan tak bukan adalah Umno sendiri.

Wujud dakwaan bagaimana RM500 yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk, telah "dicukaikan" sebanyak RM200 oleh pihak Umno bahagian dan cawangan. Penduduk hanya mendapat RM300 sahaja. Pemilihan juga dipertikaikan kerana tidak semua penduduk yang memerlukan wang berkenaan mendapat hasilnya.

Apakah kita tidak merasa malu dilabelkan sebagai "pencuri di siang hari?" Kesimpulannya, jika Umno masih seperti Umno sekarang, baiklah kita lupakan sahaja hajat hendak menjatuhkan Bulan. Mana mungkin Gelombang Biru mampu menggugurkan Bulan.