Pemimpin BN saban hari menghentam PAS kononnya mendakwa parti itu cuba menipu rakyat dengan mengemukakan dua manifesto berasingan - satu di peringkat negeri yang dikuasai PAS dan satu lagi di peringkat pusat dan negeri-negeri yang mahu dikongsi bersama rakan BA lain.

Saya difahamkan ia merupakan suatu lontaran pandangan pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk dibincangkan dalam suatu majlis tertutup yang dihadiri pimpinan peringkat tinggi dan pertengahan PAS.

Ustaz Hadi telah mengemukakan hujah beliau berasaskan kepada dalil syara' dan juga dalil akal. Di samping itu, beliau juga mengingatkan agar cadangan ini diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambilkira risiko BN mengambil kesempatan untuk mengelirukan para pengundi dan penyokong BA. Beliau juga mengingatkankan jangan sampai 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Pada hujung tahun 1980an, Ustaz Hadi juga telah mengeluarkan suatu kertas cadangan bertajuk ' Tahalluf Siasi ' - bermaksud 'Kerjasama Politik' - yang kemudiannya dibahaskan dan diterima pakai oleh pimpinan PAS untuk dijadikan asas parti itu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Semangat 46.

Walaupun risikonya besar sehingga lahir kumpulan Islah yang menentang pucuk pimpinan parti, PAS terus membuktikan kesungguhannya dalam usaha mencabar penguasaan politik BN, khususnya di Kelantan. Hasilnya, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya menguasai Kelantan dalam pilihanraya umum 1990 dan PAS mengekalkan pemerintahannya hingga sekarang.

Kesediaan PAS untuk mengemukakan manifesto dua aras ini sekali lagi membuktikan kesungguhannya berusaha menamatkan hegemoni politik BN di peringkat nasional, di samping mengukuhkan kedudukan BA di negeri-negeri yang sedang dikuasainya.

PAS pastinya sedar risiko politik yang dihadapinya, tetapi demi kepentingan rakyat, PAS sanggup mengharunginya. Bagi PAS, perkara utama ialah memberikan pilihan terbaik untuk rakyat di samping berpegang kukuh dengan dasar Islam yang menjadi tonggak kekuatannya selama ini.

Tindakan PAS ini juga membuktikan kekuatan PAS dari sudut organisasi dan politik. Tidak mungkin PAS dapat mengambil risiko sebesar ini sekiranya parti itu dibelenggu krisis dalaman seperti yang berlaku kepada sesetengah parti lain.

Berbekalkan kepimpinan yang mantap dan berwibawa, serta disiplin dan komitmen yang tinggi dari kalangan ahli dan pendokong parti, PAS yakin pendekatan baru ini akan menghasilkan sesuatu yang positif dalam tempoh jangka panjang.

Terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk membuktikan sejauhmana kebijaksanaan dan kesungguhan mereka untuk menamatkan hegemoni politik parti penguasa dan sekaligus mewujudkan negara Malaysia yang lebih adil dan bersih dari rasuah.

Rakyat Malaysia perlu berani keluar dari sifat prejudis mereka terhadap dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Tentulah aneh sekiranya golongan yang selama ini dilabel sebagai konservatif dan ekstrim, lebih mampu bersifat toleran berbanding mereka yang mengaku liberal, tetapi langsung tidak berupaya untuk berlapang dada dalam soal perbezaan ideologi politik.