PAS berpatah balik atau melangkah ke depan?
Penulis memang keliru dengan cubaan kolumnis malaysiakini Lee Ban Chen untuk membezakan antara "Formula untuk Kejayaan" PAS yang kononnya telah "menyatupadukan Barisan Alternatif (BA) semula" dengan strategi "Dua Manifesto bercanggah" yang mengizinkan PAS mengejar cita-cita negara Islamnya, sedangkan kedua-duanya adalah perkara yang sama dari segi intipatinya.
"Formula untuk Kejayaan" PAS berjanji "tidak akan berkeras untuk memasukkan isu Negara Islam dan hukum hudud dalam Manifesto Bersama BA" (memetik kata-kata kolumnis malaysiakini ).
Tetapi ia juga memberikan notis bahawa PAS akan mengemukakan manifesto berasingan untuk negeri-negeri yang dirancang untuk ditawannya (seperti Kedah dan Perlis) dan mengekalkan kuasa (Kelantan dan Terengganu). Manifesto berasingan itu akan memasukkan objektif Negara Islam dan hudud.
Semasa 'Manifesto Bersama BA' dilancarkan pada 24 Oktober 1999, ia berjanji akan menghormati "kedaulatan perlembagaan" serta "kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip kebebasan beragama". Ia juga menjanjikan "sistem pemerintahan persekutuan yang memenuhi tanggungjawabnya".
'Manifesto Bersama BA' tidak memberikan ruang kepada mana-mana rakan BA untuk memesong daripada persetujuan 24 Oktober itu, termasuk mengemukakan manifesto berasingan yang bertentangan dengan prinsip 'Manifesto Bersama BA'. (Melainkan manifesto berasingan yang bertujuan memajukan objektif 'Manifesto Bersama BA', yang pada hemat penulis ini, boleh digalakkan selagi ianya konsisten)
Tetapi PAS melanggari persetujuannya dengan Keadilan, Parti Rakyat Malaysia dan DAP, sebelum pun kering dakwat ketika menandatangani persetujuan itu.
Pada 26 November - tiga hari sebelum hari membuang undi dalam pilihanraya umum lalu - PAS secara satu pihak, mengemukakan 'Manifesto Pilihanraya Umum Terengganu dan Kelantan'. Tajuk utama manifesto itu adalah untuk mewujudkan pemerintahan Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud.
Bayangkanlah kejutan yang melanda rakan-rakan PAS di dalam BA apabila berita ini diumumkan serta reaksi hebat masyarakat Malaysia yang bakal membuat keputusan penting pada 29 November 1999.
Manifesto berasingan PAS itu secara terang-terangnya bercanggah dengan 'Manifesto Bersama BA' "ke arah Malaysia yang adil" yang berjanji akan "menghormati prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia".
'Formula untuk Kejayaan (PAS)' yang bertarikh 18 Januari tahun ini telah meletakkan dalam tulisan apa yang pernah dilakukan oleh PAS menjelang hari pengundian pilihanraya umum 1999, dan apa yang akan mereka lakukan sekali lagi dalam pilihanraya umum akan datang.
Maka adalah sungguh ganjil bagi kolumnis malaysiakini menganggap tindakan melanggari persetujuan 'Manifesto Bersama BA' oleh PAS ini sebagai tanda PAS "berpatah balik" setelah ianya diletakkan dalam tulisan.
Apakah logiknya alasan ini? Setahu penulis, kalau PAS benar-benar "berpatah balik", ia harus:
a) Menarik balik manifesto berasingan untuk Kelantan dan Terengganu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Manifesto Bersama BA 1999; atau
b) Meminda kedua-dua dokumen tersebut, memadamkan janji negara Islam dan memajukan janji-janji yang termaktub di dalam Manifesto Bersama BA 1999;
c) Menarik balik Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Kelantan dan mematuhi sempadan perundangan yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan selaras dengan 'Manifesto Bersama BA'.
Jika PAS tidak berbuat demikian, 'Formula untuk Kejayaan' ini hanya membuktikan bahawa PAS bukan sahaja tidak "berpatah balik", sebaliknya telah melangkah ke depan lagi dan mengkodifikasikan perlanggarannya dalam tahun 1999.
Dan mereka yang mendakwa 'Formula untuk Kejayaan' berjaya menyatupadukan BA semula, mungkin telah mendedahkan rahsia strategi baru BA. Dengan meminjam kata-kata kolumnis malaysiakini, BA kini mengizinkan strategi kepentingan negeri (bahagian) mengambil alih kepentingan pusat (keseluruhan).
Dan PAS atau Keadilan boleh memperjuangkan segala jenis bentuk kerajaan yang diidamkan masing-masing, sungguhpun perjuangan itu bertentangan dengan Manifesto Bersama BA 1999 yang berjanji akan menghormati prinsip asas Perlembagaan Persekutuan.
Jika tidak, mereka yang menyokong 'Formula untuk Kejayaan' PAS serta strategi "dua manifesto bercanggahnya" itu mungkin sedang mempraktikkan perumpaan " the end justifies the mean " - selagi Barisan Nasional (BN) dapat ditumbangkan, apa sahaja strategi pun boleh dihalalkan.
Ini termasuklah menutup sebelah mata dan membiarkan Negara Islam menjadi kenyataan menerusi cara demokratik (PAS berjanji akan patuh kepada sistem pilihanraya demokratik dalam perjuangan Negara Islamnya) dan seterusnya menggadaikan hak kewarganegaraan rakyat untuk menukarkan pemerintahan negara Islam menerusi pilihanraya umum selepas itu, kerana menurut PAS, Negara Islam adalah Perintah Tuhan dan Perintah Tuhan memang tidak boleh dicabar.
'Formula untuk Kejayaan' PAS boleh dikatakan ikhlas bagi pihak PAS kerana sekurang-kurangnya parti berkenaan tidak menyembunyikan hasratnya untuk mendirikan negara Islam di Malaysia. Tetapi lain pula ceritanya dengan mereka yang hatinya membara dengan perasaan bencikan BN sehingga sanggup mengaburi mata rakyat jelata dengan retorik yang songsang.

