Isi kemerdekaan dengan akal dan jiwa yang sejahtera
Tanggal 31 Ogos telah berlalu. Sambutan kemerdekaan ke-46 tahun ini buat kali pertamanya diadakan di Putrajaya dan merupakan yang terakhir dihadiri oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Sesungguhnya, detik keramat ini cukup besar ertinya bagi rakyat Malaysia yang diari kehidupan mereka pernah mencatat pelbagai suasana sebelum 31 Ogos 1957.
Ia menjadi saksi kepada pejuang bangsa yang menuai hasil daripada keringat dan darah mereka yang tumpah demi membebaskan negara tercinta daripada belenggu penjajahan.
Bagi mereka yang lahir selepas merdeka, 31 Ogos sebenarnya menjadi titikmula ke arah meningkatkan semangat patriotisme dan jatidiri rakyat Malaysia demi mewarisi dan meneruskan perjuangan bangsa.
Setelah 46 tahun kita merdeka, telah banyak perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh negara. Meningkatnya umur kita saban tahun, semakin banyak pencapaian membanggakan dicatatkan negara dan rakyat selaras dengan semangat Malaysia Boleh!
Pembangunan pesat dan pencapaian di luar dugaan rakyat Malaysia cukup menonjol semasa berada di bawah pemerintahan perdana menteri kita Dr Mahathir yang tempohnya hampir separuh daripada umur kemerdekaan negara.
Di sebalik, ketika meraikan pencapaian dan kemajuan negara setelah 46 tahun merdeka, kita perlu akui ada sudut dan ruang yang masih perlu diperbaiki ke arah mengecapi nilai dan erti kemerdekaan sebenarnya.
Jangan kita tersilau dengan semua kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai sehingga menghalang pandangan kita menembusi dan mengerti situasi sebaliknya yang turut sama bercambahbiak.
Senarai panjang "kejayaan" kita dalam perkara sebaliknya perlu diberi perhatian serius. Usaha berterusan ke arah penyelesaian atau meminimakan "pencapaian" tersebut perlu diperkemaskan.
Peningkatan kadar jenayah, termasuk jenayah seksual yang menakutkan, gejala keruntuhan moral muda-mudi dan tahap disiplin pelajar yang membimbangkan, dan juga peningkatan kes salahlaku rasuah yang memualkan adalah contoh "pencapaian" tersebut.
Banyak lagi yang tidak disenaraikan di sini. Kita semua sedar dan tiada seorang pun yang boleh hanya memandang sebelah mata terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.
Harapan kita hanya satu. Kita mahu menikmati dan menghayati kemerdekaan yang telah dicapai dalam ertikata, maksud dan nilai yang sebenarnya.
Kemerdekaan sebenar terisi dengan kebebasan fikiran dan tindakan, peningkatan kualiti dan taraf hidup, keselamatan rakyat terjamin dan terbela, keadilan sosial berada di tempatnya, pengagihan kekayaan ekonomi dan pendapatan yang adil dan saksama, serta kemajuan yang berjatidiri.
Semua ini terhasil apabila pembangunan negara seiring dengan peningkatan jiwa dan rohaniah rakyatnya. Kemajuan yang bersifat maddiyah akan hanya merosakkan sekiranya tidak dipandu akal yang bebas dan merdeka.
Cabaran utama kita sekarang ialah untuk mengisi kemerdekaan yang telah dicapai dengan sebaik-sebaiknya. Dan, pengisian kemerdekaan itu harus dipandu oleh akal dan jiwa yang sejahtera. Inilah harapan dan aspirasi rakyat untuk menghayati kemerdekaan negara.

