Mewakili suara majoriti anggota PKR yang prihatin dengan pemilihan 2014 agar ia berlangsung dengan telus dan adil. Tanpa berselindung, pemilihan 2010 lalu terdapat banyak kepincangan, namun langkah berani perturun demokrasi hingga ke akar umbi ini harus dipuji. Di atas keberanian ini juga, kaedah pemilihan turut ditiru oleh gerombolan Umno dalam usaha melebar demokrasi.

Memang kita akui penambahbaikan pemilihan 2014 adalah jauh tersusun dan cermat daripada pemilihan yang lalu. Namun dalam masa yang sama ada manusia tamak kuasa yang tidak hormat demokrasi maka penipuan dan manipulasi terus dilakukan. Ini satu pengkhianatan. Parti ini parti reformasi, justeru itu roh demokrasi harus segar di kalangan ahli dan pimpinan parti.

Penipuan ini harus dilawan, pengkhianatan ini tidak boleh dibiarkan. Penipuan yang didedahkan bersama bukti yang jelas berlaku di Batang Sadong dan beberapa kawasan lain wajib ditangani dengan tegas.

Membongkarkan penipuan cuba dikatakan memalukan parti, kita perlu sedar yang membuat penipuan itulah sebenarnya penjahat sebenar. Kami sayangkan parti ini. Ia parti masa depan. Membiarkan penipuan dan membunuh demokrasi dalam parti bererti membunuh masa depan harapan bersama.

Kita menyambut baik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPR dan JPP adalah berbeza kerana JPP akan bertindak dan parti akan menghukum si pesalah/penipu tanpa mengira jawatan yang sedang disandang.

Kita mendesak siasatan yang menyeluruh dan tindakkan/hukuman harus dititik-berat kepada susuk yang membuat arahan dan individu/pihak memperolehi keuntungan dari penipuan tersebut. Mengambil tindakan terhadap pengawas semata, samalah diumpamakan ‘menahan dan membicarakan Azilah dan Sirul kerana membunuh Altantuya’ tetapi mengenepikan siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.

Ketika yang sama kita diasak oleh parti lawan, harus dipertegas bahawa kita berani akui kepincangan ini dan membetulkannya. Gerobolan Umno dan BN tidak layak berbunyi kerana sesungguhnya mereka jauh lebih bobrok.

Akhir sekali, ayuh kita pastikan semangat keadilan itu terus subur mekar dalam PKR, parti masa depan bersama.

 

Che’GuBard

Anggota biasa PKR