Semenjak 1974 ketika Tun Razak Hussein mencipta sejarah dengan merintis perhubungan diplomat dengan China, hubungan Malaysia dengan negara gergasi Asia ini terus meningkat.

Dagangan dua-hala terus memberi banyak manafaat kepada kedua belah pihak. Sudah hampir 30 tahun hubungan mesra ini terjalin. Pada tahun itu, gambar Tun Razak bersalaman dengan Mao Tse Tung disiarkan secara meluas di kesemua akhbar tempatan, terutama dalam akhbar bahasa Cina.

Gambar kedua-dua pemimpin itu juga terus tersebar luas di seluruh negara ketika menjelang pilihanraya umum ketika itu. Kesimpulannya, gambar kedua-dua pemimpin tersebut mungkin memainkan peranan besar mempengaruhi pengundi keturunan Cina supaya menyokong kerajaan.

Dalam tempoh hampir 30 tahun ini, saya terus menyaksi setiapkali menjelang pilihanraya umum, pasti pucuk pimpinan Umno akan membuat lawatan rasmi ke Beijing.Tun Hussein Onn berbuat demikian. Datuk Seri Dr Mahathir pun sama - entah berapa kali tidak dapat saya kira.

Sekarang, rupa-rupanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun tidak ketingggalan. Beliau telah mebuat lawatan rasmi. Beliau bergambar dengan pemimpinan China, Hu Jintao dan Wen Jiabao. Saya pasti gambar-gambar ini akan dipamerkan di seluruh negara menjelang pilihanraya umum akan datang.

Saya rasa hairan, apakah perlunya pemimpin Melayu yang meneraju negara ini "terpaksa menziarahi Beijing" setiap menjelangnya pilihanraya umum? Apakah Umno dan Barisan Nasional (BN) memerlukan restu pemimpin negara berkenaan untuk mengekalkan kuasa?.

Apakah orang Cina di Malaysia masih mendongak ke utara untuk petunjuk dan ilham? Kita sudah 46 tahun merdeka. Mereka yang dilahirkan selepas merdeka, sudah cukup dewasa. Tidak patut langsung kita memberi mereka atau mana mana pihak, ruang untuk membelah-bahagikan kesetiaan mereka.