Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. PAS juga, walaupun inginkan negara Islam, telah berjanji tidak akan menukar sifat dan amalan demokrasi di negara tercinta ini.

Jadi mengapakah masih ada yang menganggap aneh apabila ada umat Islam di negara ini yang bertanyakan hak mereka untuk tidak menerima pakai peraturan Islam di Malaysia ini? Bukankah ini yang dikatakan demokrasi?

Demokrasi jugalah yang memberi hak kepada mereka yang ingin berjubah, berserban, berjanggut, berpurdah dan sebagainya untuk terus memakai pakaian yang mereka senangi.

Demokrasi juga memberi hak kepada syarikat perniagaan, seperti syarikat penerbangan , untuk menentukan cara pakaian dan tatatertib pekerja mereka.

Selain daripada 'Khidmat Negara', tidak ada sebarang program yang memaksa mana-mana orang untuk menyertai atau berkerja dengan mana-mana pihak kerajaan atau bukan kerajaan.

Oleh itu, sekiranya ada pihak-pihak yang mengenakan syarat-syarat yang kita tidak boleh terima, atas sebab peribadi atau agama, kita tidak perlu menyertai atau berkerja dengan pihak pihak tersebut.

Misalannya, ada sebuah disko yang memerlukan pelayan wanitanya berpakaian miniskirt pendek, atau syarikat penerbangan yang menghidangkan arak kepada penumpang mereka. Perlukah kita berkerja dengan syarikat tersebut sekiranya perkara seperti itu bertentangan dengan kepercayaan agama kita?

Kita ada pilihan, sebab ini negara demokrasi.