China negara biasa bagi masyarakat Tionghua di Malaysia
Saya ingin menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh pembaca malaysiakini , Kulat Male , tentang lawatan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) ke Republik Rakyat China baru-baru ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa China akan menjadi kuasa besar dan penting pada dekad akan datang. Sebagai seorang ahli politik yang pragmatik, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telahpun menyedari senario ini.
Pada pandangan saya, lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke China baru-baru ini, merupakan satu initiatif untuk mengukuhkan perhubungan dua hala sebelum beliau dilantik ketua kerajaan secara rasmi pada hujung bulan depan.
Pendek kata, lawatan beliau adalah satu "get-to-know-you exercise", kerana kerajaan China juga, mulai awal tahun ini, turut mengalami pembaharuan kerajaan dan diketuai pimpinan generasi baru, seperti Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.
Bagi tujuan yang sama, Abdullah turut melawat Jepun Julai lalu supaya beliau boleh menjalin hubungan lebih rapat dengan kerajaan Jepun. Sebenarnya, Abdullah melakukan lawatan lebih awal ke Jepun, daripada lawatannya ke China.
Ini sebagai simbol bahawa kerajaan Malaysia lebih menghargai hubungannya dengan Jepun, daripada dengan China, walaupun kedua-dua negara besar Asia, sama penting kepada negara kita.
Mengenai isu kesetiaan masyarakat Cina di Malaysia, saya berpendapat bahawa kebimbangan atau kecurigaan Kulat Male adalah tidak berasas samasekali. Bagi generasi baru warga Malaysia berbangsa Tionghua, China merupakan sebuah negara biasa sepertimana Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Australia.
Sepanjang lawatan Abdullah ke China, saya tidak pernah mendengar rakan-rakan saya - walaupun sekalipun - melahirkan rasa istimewa terhadap lawatannya. Bagi kami, ini adalah satu perkara biasa.
Bagaimanapun, generasi tua mungkin masih mempunyai sentimen istimewa terhadap negara China. Sentimen mereka agak sama dengan sentimen di kalangan kaum Melayu terhadap Indonesia.
Jika Umno dan BN berharap untuk meraih "keuntungan (politik)" daripada lawatan Abdullah ke China dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, saya percaya "keuntungan" itu agak minimal, kerana kebanyakan warga Malaysia berbangsa Tionghua telah matang manakala iklim politik antarabangsa juga kini amat berbeza daripada tahun 70-an.
Ahli politik Umno tidak akan mencapai kesan yang sama daripada gimik diplomatik yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin BN dahulu.
Semakin rapat hubungan di antara Malaysia dan China, semakin biasa perasaan kami terhadap Benua Besar (China). Ia hanya diketahui sebagai negara nenek moyang kami, begitu juga Indonesia kepada kaum Melayu di Malaysia.
Oleh itu, saya berharap tiada warga Malaysia bukan Melayu yang akan diminta untuk membuktikan kesetiaan mereka ad nauseam kepada tanahair kita.

