Didik rakyat cara-cara sertai rapat umum
Akhir-akhir ini, persoalan mengenai kebenaran rapat umum diadakan dalam pilihanraya umum akan datang, sepertimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), telah mencetuskan pandangan yang berbeza - ada yang menyokong dan ada pula yang mahu "menguburkan" topik ini.
Dalam negara yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi, rapat umum sudah tentu menjadi salah satu "mercutanda" kejayaan sistem ini, bukannya monumen atau projek mega yang menelan berbilion-bilion ringgit.
Malaysia yang dikenali sebagai negara berbilang bangsa, telah berjaya dilihat sebagai negara yang toleran (inilah yang sering diwar-warkan oleh pimpinan negara).
Seharusnya, semua pihak wajar mengambil sikap positif, bukannya mematikan terus topik ini. Semua pihak boleh menjayakan rapat umum secara aman dan terus menjadikan Malaysia sebagai model negara majmuk yang toleran di mata dunia - sebagai membuktikan Malaysia Boleh!
Pihak kerajaan dan pihak keselamatan mungkin boleh memikirkan langkah-langkah kawalan ketika rapat umum diadakan.
Orang ramai boleh "dididik" mengenai cara-cara mengambil bahagian, manakala pihak korporat pula boleh "menganjurkan" bengkel atau seminar (sebahagian daripada sumbangan kepada masyarakat) dan banyak lagi. Pokoknya: hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Jika kita masih tidak yakin untuk membenarkan rapat umum dianjurkan yang aman, sudah tiba masanya kita mempersoalkan apakah "kejayaan" pembentukan masyarakat majmuk sepanjang 46 tahun merdeka (sekaligus mencerminkan kegagalan dasar pihak berwajib untuk melahirkan warganegara yang berilmu, matang dan bertanggungjawab).

