Saya merasa terkilan dengan teguran Kulat Male dalam ruangan surat pembaca di malaysiakini pada 19 September lalu yang bertajuk "Kenapa pemimpin Umno lawat China sebelum pilihanraya".

Apakah kena-mengenanya lawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke China baru-baru ini dengan bisikan pilihanraya yang mungkin diadakan awal tahun 2004?

Pada pendapat saya, teguran Kulat Male itu ada "udang di sebalik batu" yang hanya memperkecilkan imej dan kedudukan Pak Lah sebagai bakal perdana menteri Malaysia yang kelima.

Sudah nyata hasrat Pak Lah ke China merupakan lawatan kerja bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala demi kepentingan politik serantau. Ianya tiada kaitan dengan pilihanraya atau atas kepentingan Umno untuk memancing undi kaum Cina di negara ini atau mempunyai sebarang muslihat lain.

Pengundi Cina di Malaysia sudah cukup matang dan sokongan mereka dalam setiap pilihanraya umum mengambarkan kesetiaan kaum itu berpegang kepada konsep "berkongsi kuasa" melalui lambang politik ala Barisan Nasional (BN) yang telah dikekalkan sekian lama sejak 1957.

Maka dengan itu, teguran suara Kulat Male agak memalukan pemimpin Umno dan BN dari segi pembangunan negara, yang tidak perlu mendapat restu daripada negara China mahupun negara India.

Akhirkata, lawatan Pak Lah ke China sebelum mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan dan parti, sebelum persaraan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bulan depan, adalah tepat pada masa nya.

Jika konsep Dr Mahathir selama ini adalah "Pandang ke Timur" maka konsep Pak Lah mungkin "Pandang jauh ke Timur Utara", iaitu negara China - sebuah negara yang bakal muncul kuasa ekonomi dunia yang segani dalam abad ke-21.

Dari segi kerjasama serantau, Malaysia dan negara anggota Asean tidak boleh dikecualikan daripada peluang perdagangan dan perindustrian yang akan dinikmati hasil pembangunan pesat negara China masakini.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan negara Kesatuan Eropah (EU) telahpun lama memandang ke China untuk mencari peluang perniagaan serta mengalihkan operasi perindustrian mereka ke China. Pada hari ini, banyak barang keluaran berjenama diperbuat di China dan diekspotkan ke pasaran dunia.

Syabas Pak Lah! Lawatan beliau ke Cina merupakan satu langkah yang tepat dari segi perlaksanaan dasar luar negara, di mana beliau diberi penghormatan yang positif oleh pemimpin-pemimpin Cina masakini. Lawatan Pak Lah ke Thailand sebelum ini juga mencerminkan hubungan mesra antara kedua-dua negara berjiran.

Malaysia akan terus bernasib baik dengan adanya seorang perdana menteri baru yang sangat matang dan berpengalaman dari segi hubungan diplomasi selepas lama memegang jawatan menteri luar di bawah kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Pada kesempatan ini, saya ingin ucapkan majujaya kepada Pak Lah dan kabinetnya yang bakal ditubuhkan pada awal November depan. Selamat bertugas untuk kemajuan bangsa dan negara.