Saya ingin memberi sedikit komen terhadap surat Mustapha Ong. Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan dengan seterang-terangnya bahawa tidak ada apa-apa kesangsian pada diri saya atau mana-mana pihak tentang betapa pentingnya negara Cina sebagai sebuah negara besar dunia yang pesat membangun.

Sesiapa yang tidak mengenalpasti kepentingan negara Cina dari segi dagangan, pergolakan politik dunia dan sebagainya, akan ketinggalan peluang yang boleh diterokai untuk manafaat bersama.

Persoalan yang saya utarakan ialah,mengapakah lawatan rasmi sering diadakan menjelangnya pilihanraya umum? Mengapakah gambar pemimpin Umno bersalaman dengan pemimpin Cina ditayangkan di merata kawasan pilihanraya yang ramai pengundi Cina?

Sekiranya benar anggapan Ong bahawa lawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berkaitan langsung dengan pilihanraya umum akan datang, maka kita tidak akan melihat poster poster Pak Lah bersalaman dengan Hu Jinatao atau We Jiabao apabila tiba masa untuk berkempen.

Kita tidak perlu menunggu lama. Masa akan membuktikan apa yang saya kemukakan itu satu kenyataan. Sehubungan perkara sama, saya ingin memberi ingatan dan nasihat kepada pengundi Cina supaya sedar mengenai propaganda Umno yang telah bertubi kali membukti betapa hipokritnya mereka.

Mereka terus mengecam pemimpin pendidikan Cina, tetapi menjelangnya pilihanraya, peruntukan untuk sekolah Cina, termasuk sekolah menengah swasta mereka, akan diumumkan. Sudah berapa buahkah yang telah disiapkan?

Sudah sampai masanya untuk warga keturunan Cina di sini memberi peluang kepada pemimpin Melayu selain daripada Umno untuk menerajui negara ini.